DUTA BERI JAMINAN PENGLIBATAN BERTERUSAN AS DI ASIA

Adalah penting untuk Malaysia mengiktiraf pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang baru selesai dan memberi ruang kepada presiden dipilih, Donald Trump untuk melantik kakitangan pentadbirannya, kata Pemangku Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan.

“Pada pandangan saya, pentadbiran baru akan terus mencari jalan mengukuh dan meningkatkan penglibatan dan hubungan di rantau ini (Asia).

“Bagaimana mereka melakukannya, kita perlu berlaku jujur, sebenarnya kita tidak tahu sehingga mereka mengenal pasti orang mereka dan mengangkat sumpah jawatan.

“Kita perlu memberi ruang kepada presiden dipilih Donald Trump mengenal pasti orangnya dan mula melaksanakan dasar,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual berikutan lawatan rasmi beliau ke Labuan pada Isnin.

Kagan berkata, beliau sangat yakin yang asas-asas hubungan dua hala tidak akan berubah, sebaliknya hubungan itu akan bertambah kukuh disebabkan kepentingan mereka.

“Diharapkan, kita akan terus mencari jalan bagi meningkatkan hubungan kita agar ia menjadi lebih kukuh,” katanya dengan menambah, kedua-dua negara telah bekerjasama bagi menggalak perdagangan, pertumbuhan ekonomi, keamanan serta kestabilan di rantau ini, yang pada asasnya untuk kepentingan AS.

Kagan berkata, Trump telah menyatakan dengan jelas yang beliau amat menghormati kepentingan peranan AS di seluruh dunia.

“Kita perlu memberi ruang kepada Trump untuk memulakan tugasnya. Asia semakin penting kepada Amerika Syarikat. Walaupun apa pun anda panggil dasar itu, AS sudah terlibat di rantau Asia-Pasifik lebih daripada 70 tahun,” katanya.

Disebabkan AS mempunyai hubungan kukuh dengan banyak negara dan menjalin perikatan dengan beberapa negara, katanya, ia akan terus menjamin kestabilan di rantau ini, membantu memacu pertumbuhan ekonomi serantau dengan menggalak pasaran dan perdagangan terbuka.

“Saya tidak boleh bayangkan mana-mana presiden yang boleh mengubah asas-asas tersebut dan ia adalah sebaliknya,” katanya.

AS ialah destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia dan perdagangan dua hala bernilai AS$50 bilion pada 2015, katanya, dengan menambah sesetengah syarikat Amerika telah melabur di Malaysia lebih 100 tahun.

– Bernama

.