‘DUNIA GELAK JIKA SEKSYEN 124C DIGUNAKAN KE ATAS DR M’

Malaysia bakal menjadikan satu lagi bahan gelak dunia sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat di bawah kanun keseksaan kerana cubaan memudaratkan demokrasi berparlimen, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Bayangkan Mahathir bukan sahaja seorang datuk tetapi sudah menjadi moyang pada usia menjangkaui 91 tahun, disiasat dan dituduh ‘terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen’ selepas menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Kepala mereka yang bertanggungjawab terhadap tragedi komik di Malaysia ini perlu diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim juga menyentuh mengenai tindakan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang hadir di Pejabat Menteri Besar Selangor dengan hanya bertuala sebagai bantahan terhadap gangguan bekalan air dan Ketua Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang tampil pada sidang media dengan mulutnya ditampal pita pelekat.

Lim berkata demikian bagi mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata Mahathir sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

“Siapa kata kita tidak siasat Mahathir di bawah Seksyen 124C?”

“Sama ada kita mahu bawa itu ke peringkat seterusnya adalah satu perkara yang berbeza,” kata Nur Jazlan apabila diajukan persoalan berkenaan.

Antara mereka yang sedang disiasat di bawah Seksyen 124C adalah BERSIH dan pemimpinnya, termasuk Maria Chin Abdullah, Majlis Peguam, Lawyers for Liberty dan Malaysiakini.
Siasatan berkisar dengan dakwaan bahawa kumpulan tersebut menerima pembiayaan dana asing termasuk dari Open Society Foundations yang dikaitkan dengan George Soros.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan itu adalah untuk menentukan sama ada kumpulan berkenaan dibiayai untuk menjatuhkan kerajaan.

– M’kini

.