DULU BERMUSUH, EZAM KINI MAHU PERTAHAN AZMIN

Sekian lama menjadi ‘musuh ketat’, bekas Ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Noor hari ini berikrar untuk mempertahankan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata akan mempertahankan menteri besar Selangor itu yang menurutnya kini diserang “dengan cara jijik dan tidak beretika”.

“Menjadi kewajipan rakyat Selangor yang waras dan mempunyai maruah dan prinsip keadilan mempertahankan menteri besar Selangor dan pentadbirannya.

“Atas prinsip ini saya sebagai anak jati Selangor menyatakan secara jelas dan terbuka akan mempertahankan Azmin dan pentadbirannya,” katanya.

Sebagai menteri besar, kata Ezam lagi, Azmin menunjukkan komitmen yang luar biasa serta disenangi rakyat, tetapi malangnya diganggu “pemimpin yang sudah hilang legitimasi dan mahu membunuh ancaman politiknya”.

Beliau tidak menamakan secara khusus pihak yang dimaksudkannya itu.

Ezam dan Azmin merupakan pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi timbalan perdana menteri pada tahun 1990-an.

Dilihat sebagai orang kanan Anwar, kedua-duanya kekal bersama Anwar selepas dipecat daripada Umno oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 dan menjadi watak penting gerakan Reformasi.

Pada 2007, perselisihan berlaku antara Ezam dengan Anwar dan Azmin yang menyebabkannya keluar daripada PKR.

Ketika itu, Ezam menyifatkan Anwar sebagai “lemah” dan menuduh Azmin mengawal Ketua Umum PKR itu.

Ezam kembali kepada Umno pada 2008 dan dilantik sebagai senator dua tahun kemudian. Namun beliau sekali lagi meninggalkan parti itu tahun lalu berikutan isu 1MDB.

Ezam yang kini mengetuai NGO Hisbah Malaysia mengecam serangan terhadap Azmin.

“Selangor tidak boleh membenarkan agenda politik sempit dan jijik mana-mana individu terdesak menjadi penghalang kepada usaha pentadbiran di bawah Azmin, yang jelas beriltizam menjulang Selangor ke arah masa depan cemerlang,” katanya lagi.

Walaupun tidak menamakan dengan jelas, antara pihak yang menyerang Azmin mutakhir ini adalah Umno Selangor, bersama-sama adiknya Azwan Ali.

Azwan berikrar untuk “menjahanamkan” Azmin serta mengancam mendedahkan rahsia timbalan presiden PKR itu.

– M’kini

.