DUA PILIHAN BUAT ANINA

Sejak semalam lagi isu pengguguran Anina Saadudin sebagai Ketua Srikandi PPBM menjadi bualan di mana-mana apabila bekas ahli UMNO Langkawi itu sendiri mendedahkan kedudukan dirinya yang sebenar.

Amatlah malang sebenarnya, sementara sebelum ini isu berkaitan beliau itu hanya menjadi bualan senyap di media-media sosial, sebaliknya kini Anina sendiri membuka mulut dan seolah-olah mahu semua orang menumpu kepadanya.

Lebih menarik dalam jawapan mengenai perasaannya apabila dilucutkan jawatannya itu, Anina sinis menjawab, “Tanya dulu perasaan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir apabila dilucutkan jawatan oleh UMNO.

“Saya nak tahu jawapan mereka. Lepas itu, saya jawab apa perasaan saya. Dulu saya bela mereka, saya lupa nak tanya apa perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang.”

Wajarkah seseorang yang berpendidikan tinggi dan pernah bergelar pensyarah sebelum ini, memberi jawapan sebegitu rupa dalam konteks berparti dan berpersatuan?

Terlihat bahawa jawapan Anina terpercik nada ego dan sedikit kurang ajar terhadap pemimpinnya sendiri. Anina harus sedar, beliau hanya dilucutkan jawatan Ketua Srikandi, tetapi masih lagi berjawatan Ahli Pimpinan Tertinggi PPBM.

Walaupun Anina mendakwa perlucutan jawatannya kerana tersebarnya “perbualan seks bodoh” mengenai dirinya, Anina juga harus sedar beliau barangkali turut dilingkari masalah-masalah lain yang tidak disedarinya mungkin telah menyebabkan pimpinan tertinggi PPBM merasakan beliau lebih sesuai sebagai Ahli MPT saja berbanding Ketua Srikandi.

Jawatan Ahli MPT itu sebenarnya sudah cukup tinggi bagi Anina yang semasa dalam UMNO, tidak pernah pun menjadi Ketua Wanita Bahagian, apatah lagi menjawat jawatan lain di peringkat negeri dan pusat. Maka, bersyukur dan berpada-padalah dalam mengangkat diri sendiri.

Apabila Anina memilih untuk berucap dengan mengatakan Najib Razak “kencing ahli UMNO” dan memintanya “segera berubat”, beliau seharusnya sedar sama ada mahu konsisten dan tahan cabaran dengan jalan yang dipilih atau sebaliknya.

Sikit-sikit dugaan, cabaran dan halangan adalah perkara biasa selagi dalam hatinya masih tersemat iltizam dan kekuatan untuk bersama-sama dengan majoriti rakyat yang mahu menolak Najib.

Di bawah ini pula adalah kenyataan rasmi PPBM mengenai kedudukan Anina:-

*KENYATAAN RASMI PPBM BERHUBUNG KEDUDUKAN KETUA SRIKANDI*

26 Disember 2016

1. Berhubung isu kedudukan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ingin saya menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM masih belum menubuhkan sayap Srikandi. Menurut Perkara 21 Perlembagaan PPBM, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidangkuasa MPT.

2. Justeru, kedudukan Puan Anina Saadudin yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul. Beliau kekal sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi.

3. MPT akan menubuhkan Sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi. Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh yang demikian pemilihan Ketua Srikandi hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi.

4. Adalah diharapkan ahli-ahli PPBM terutamanya Srikandi dapat bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia.

*BERSATU, BERAMANAH, BERMARUAH*

DATUK DR SHAHRUDDIN MD SALLEH
Setiausaha Agung PPBM.

Oleh kerana Anina sendiri sudah mendedahkan masalah dirinya kepada umum untuk diperbualkan, orangramai tidak akan berhenti bercakap mengenainya. Barangkali juga ada yang bertepuk tangan sekarang ini.

Untuk itu, Anina hanya ada dua pilihan sekarang ini.

Pertama, segera menutup mulutnya daripada bercakap secara terbuka mengenai kedudukannya. Beliau harus menyelesaikan masalah itu secara tertutup dengan kepimpinan tertinggi PPBM.

Jika masih ingin kekal dengan perjuangan menyingkirkan Najib, istiqamahlah bersama PPBM dan akurlah dengan keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan terhadapnya.

Sebagai Ahli MPT, beliau masih boleh bersuara dan bergerak ke seluruh negara untuk berceramah dan berkempen atas nama PPBM. Jawatan Ketua Srikandi bukanlah segala-galanya dalam perjuangan jika dalam hati masih terselit perasaan simpati dan ingin sama-sama berjuang membetulkan negara ini bersama-sama Tun Mahathir.

Kedua, segera meninggalkan PPBM jika ingin terus “celupar” mendedahkan masalah dalam parti dan berkaitan dirinya kepada umum. Beliau tidaklah terlalu penting berbanding perjuangan PPBM itu sendiri.

Kiranya Anina merasakan dirinya popular dan sangat penting, ramai orang lain yang lebih penting dan banyak berkorban berbanding dirinya.

Anina kemudian boleh memilih sama ada meneruskan perjuangan bersama wadah lain, bersara dan berehat atau kembali kepada menyokong Najib yang didakwanya “kaki kencing” sebelum ini. Najib tentu menadah tangan untuk menerimanya kembali kerana dalam keadaan kelemasan ini, siapa pun mudah diterimanya.

Pilihlah yang mana satu, Anina…tapi di mana pun kamu berada, perjuangan untuk menyingkirkan Najib tetap menjadi matlamat utama bagi rakyat Malaysia.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.