DUA PEMIMPIN MCA REBUT JADI CALON

KERUSI Parlimen Tanjung Malim yang menjadi kubu kuat MCA selama ini kini menjadi rebutan dua pemimpin parti berkenaan.

Dua pemimpin MCA yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen Tanjung Malim ketika ini, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Pengerusi MCA Perak yang juga Adun Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Menurut laporan Oriental Daily, Hang Soon dilaporkan menerima sokongan daripada 19 ketua bahagian MCA Perak untuk bertanding di kerusi parlimen itu bagi menggantikan Ka Chuan pada PRU14.

Kerusi Parlimen Tanjung Malim adalah kawasan paling selamat bagi MCA Perak. Pada PRU lalu, ia adalah satu-satunya kerusi parlimen yang dimenangi MCA di negeri itu.

Akhbar ini menulis, walaupun Hang Soon belum menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi parlimen itu secara terbuka, tetapi dilihat pada aktivitinya yang kini kerap berada sekitar kawasan Tanjung Malim, tidak mustahil beliau mempunyai perancangan menjadi calon parlimen pada PRU14.

“Sekiranya Ka Chuan tidak diberi peluang mempertahankan kerusinya, kemungkinan beliau akan dipilih parti untuk bertanding di kerusi parlimen lain dan antara yang menjadi pilihan ialah Gopeng.

“Bagaimanapun, sekiranya beliau tidak dipilih jadi calon PRU, beliau juga mungkin dilantik jawatan yang agak penting dalam kerajaan, contohnya sebagai Duta Malaysia di China,” lapor akhbar ini lagi.

– http://www.sinarharian.com.my

.