DUA KES YANG POLIS PERLU SEGERA BERTINDAK

Akhirnya Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sedar wujudnya laporan polis yang sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang semata-mata bertujuan untuk kepentingan politik sahaja.

“Kita pun nampak trend itu, buat report itu, buat report ini…

“Kita telah ambil keputusan bahawa jika ada pihak yang didapati sengaja menggunakan polis untuk kepentingan politik mereka, kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan atas dakwaan membuat laporan palsu,” katanya lagi.

Pihak polis tentunya lebih arif yang mana satu laporan polis yang dibuat secara main-main dan untuk kepentingan politik pihak tertentu dengan laporan yang betul-betul untuk kepentingan umum jika dilihat kecenderungan yang berlaku kebelakangan ini.

Bagaimanapun, untuk memudahkan pihak polis, sekurang-kurangnya ada dua laporan polis yang boleh dipertikaikan kewajarannya dan perlu diambil tindakan.

– pertama, laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap “Tiga Tan Sri” yang didakwa berkomplot mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Laporan polis itu kemudian disahkan oleh Khalid sendiri adalah berdasarkan andaian semata-mata.

Dalam erti kata lain, laporan polis yang hanya berdasarkan andaian adalah bersifat politik dan untuk kepentingan tertentu sahaja. Tidak ada fakta dalam andaian, ia boleh jadi hanya berdasarkan mimpi, khayalan, igauan, maklumat tidak sahih atau seumpamanya.

Maknanya, laporan polis itu boleh dianggap main-main dan telah membazirkan sumber polis.

– kedua, laporan polis yang dibuat oleh pemimpin Gerakan Baju Merah, Jamal Md Yunos terhadap Bersih yang didakwanya diresapi IS.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad ada memberi kenyataan sehari selepas itu bahawa laporan polis tersebut tidak perlu disiasat kerana lebih bersifat politik.

Malah Nur Jazlan juga menyebut tiada keperluan untuk pihak polis melayan dakwaan Jamal yang bersifat politik itu.

Maka, dalam waktu terdekat ini, sekurang-kurangnya dua kes tersebut adalah perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak polis kerana ia disahkan sebagai andaian dan bermotif politik oleh Ketua Polis Negara serta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis itu sendiri.

Jika tidak, orang yang sama mungkin akan terus bermain-main dengan laporan polis yang hanya bertujuan untuk main-main serta bagi memenuhi kepentingan politik mereka.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.