Drama romantik komedi di Mahkamah Tinggi

Ia bukan kisah melankolik seperti dalam buku Iakah Salmah karangan Ahmad Rashid Talu atau Hikayat Faridah Hanom ilham Syed Sheikh al-Hadi. Jauh sekali menyamai Syair Siti Zubaidah.

Namun pertemuan bertentang mata dua tokoh yang pernah mencorakkan negara secara langsung dalam kerajaan pada 5 September 2016 adalah salah satu babak cerita romantik komedi yang baru berkembang plotnya.

Tanpa dijangka banyak pihak Tun Dr Mahathir Mohamad boleh bersalaman, dan memberikan senyum mesra kepada bekas protege beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka pernah amat akrab sebelum menjadi musuh ketat. Kini tiba-tiba kedua-dua manusia itu seolah-olah sedang membuka lembaran baru untuk bersahabat.

Dunia memang berkembang dengan ironi. Justeru kedua-dua tokoh ‘terbuang’ berkenaan bersemuka selepas 18 tahun di kamar mahkamah dalam suasana ironi juga.

Sekadar mengulangi sejarah, mahkamah jugalah yang menjarakkan kedua-dua tokoh berkenaan sejak 1998.

Mahkamah pernah menjadi tempat Anwar muncul dengan sebelah mata lebam. Mahkamah jugalah yang menjadi pentas tilam dan seluar dalam diusung ke sana sini sebagai bahan bukti.

Cuma bezanya Anwar berada di kandang tertuduh, manakala Mahathir berada dalam ‘kandang’ dunianya yang tersendiri.

Selebihnya adalah sejarah.

Saya katakan di atas tadi, cerita di mahkamah Kuala Lumpur pada 5 September itu ialah drama romantik komedi yang sedang berkembang plotnya. Mengapa?

Ia sebuah cerita lawak kerana komen-komen yang melatari kejutan itu sangat klise, hambar dan membosankan.

Dengar atau lihat saja bagaimana profesor-profesor negara menjelaskan pertemuan itu. Hujah yang dijaja mereka ialah “tiada musuh dan rakan abadi dalam politik” atau “politik ialah seni serba mungkin”.

Satu lagi hujah untuk menjustifikasi pertemuan yang dilihat tidak dirancang itu ialah “musuh kepada musuhmu adalah rakan kamu”.

Ia mungkin hujah dan penjelasan segar jika diungkapkan pada zaman orang British seperti Sir Gerald Temple masih berkereta ke sana sini dalam negara ini. Atau ketika perdana menteri Malaysia ialah Tun Abdul Razak.

Kita sekarang berada di zaman 2016. Zaman dunia seolah-olah tiada sempadan. Zaman hampir semua orang boleh memaki perdana menteri di media sosial (tetapi kesan daripada caci maki itu, sila tanggung sendiri).

Pernah rapat dengan Mahathir

Adakah profesor di negara ini begitu terkejut dengan pertemuan – yang kelihatan – tidak dirancang itu sehingga gagal memberikan penjelasan lebih menarik, baru, segar dan mencerdikkan?

Hujah pudar dan lusuh tadi sebenarnya dapat kita kutip tanpa perlu memasuki menara gading pun kerana sembang-sembang kosong antara pesara tentera atau ketua kerani misalnya, juga boleh mencetuskan ilham sedemikian.

Pertemuan Anwar dan Mahathir itu membawa semiotik tertentu. Saya ulangi – ia sebuah kisah romantik komedi yang sedang berkembang plotnya. Jika sebuah novel, ia baru bab pertama daripada sekian banyak bab.

Sebagai bekas pasangan sebumbung yang begitu akrab tentu Mahathir dan Anwar saling berbalas mesej dalam pertemuan singkat di mahkamah pada 5 September itu.

Datuk Seri Azmin Ali mungkin dapat menangkap sedikit sebanyak mesej yang disampaikan – sama ada secara langsung atau tidak. Maklumlah, dia juga rapat dengan perdana menteri keempat Malaysia itu.

Datuk Kamarudin Jaffar juga mungkin faham dan menangkap satu dua mesej komunikasi antara Mahathir dan Anwar. Maklumlah dia juga dulu pernah menjadi Umno.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan juga barangkali ada cerita tentang pertemuan itu. Namun pasangan dianggap seperti anak-beranak itulah yang benar-benar tahu apa yang berlaku.

Dalam ilmu komunikasi, sesuatu mesej itu dihantar tidak semestinya dengan kata-kata. Bahasa badan, kerlipan mata, cara senyuman dan seumpamanya juga boleh menjadi wadah kepada komunikasi.

Pertuturan semata-mata belum tentu dapat melengkapkan komunikasi. Ia hanya disempurnakan apabila si penerima dan penghantar mesej dapat berkongsi maklumat sama selepas komunikasi berlaku.

Jika sesuatu maklumat itu dituturkan dengan betul tetapi ditanggap secara salah oleh si penerima, ia bukan komunikasi yang sempurna.

Justeru, sekali lagi ditegaskan kesan pertemuan Anwar – Mahathir tadi hanya benar-benar dapat difahami oleh manusia bernama Anwar dan Mahathir juga. Orang lain yang ada di tepi, di depan, di belakang atau menyempit di sisi hanya boleh mentafsir.

Selepas ini akan ada pelbagai cerita, ulasan, tanggapan dan kecaman – serta harapan – daripada pihak lain. Ia adalah hak masing-masing.

Cuma yang pasti resah ialah Umno dan BN. Dan mungkin PAS. Mereka tentu sedang merangka sifir politik yang lebih baru untuk mengimbangi babak awal drama romantik komedi di mahkamah pada 5 September itu.

Sementara profesor-profesor di menara gading mencari penjelasan lebih bernas bagi memberi justifikasi pertemuan berkenaan, kita boleh menantikan lembaran-lembaran baru drama romantik komedi ini terbuka satu demi satu dengan menjanjikan plot yang lebih menarik. – M’kini

.