DR TIONG CHOON HARAP KES BELIAU JADI TELADAN

KUCHING – Dr Ting Tiong Choon, yang dikekalkan kedudukannya sebagaiAdun Pujut oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berharap kes beliau akan menjadi teladan bagi pihak lain supaya sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan.

“Saya tidak melakukan sebarang kesalahan atau menganiayai penduduk Pujut…dan saya tidur dengan nyenyak setiap malam hinggalah ke hari prosiding,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah itu hari ini.

Dr Tiong Choon dilucutkan kelayakan sebagai Adun Pujut pada 12 Mei lepas berikutan usul yang dikemukakan Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Dato Sri Wong Soon Koh yang mendakwa beliau mempunyai dua kerakyatan (Malaysia dan Australia).

Dr Tiong Choon kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching bagi mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak itu.

Sementara itu, pengerusi  DAP Sarawak Chong Chieng Jen sependapat dengan Dr Tiong Choon bahawa kes berkenaan harus menjadi teladan bagi semua orang supaya “menghormati undang-undang, perlembagaan, prinsip keadilan asasi  dan kemunasabahan dalam membuat keputusan, dasar dan undang-undang”.

Chong Siew Chiang, yang bertindak sebagai peguam utama Dr Tiong Choon, berkata anak guamnya menang kes itu kerana beberapa sebab termasuk berhubung tafsiran mengenai perlembagaan dan keadilan asasi.

Beliau berkata, Speaker Dun Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar tidak memberi masa secukupnya kepada Dr Tiong Choon untuk mempertahankan diri apabila usul itu dikemukakan pada 10.30 pagi dan secara tergesa-gesa membuat keputusan melucutkan kelayakannya.

“Apabila ia tidak diberi, Speaker telah menafikan asas pertama keadilan asasi dan satu lagi ialah beliau tidak boleh menjadi hakim bagi kesnya sendiri dan dalam kes ini, Speaker bertindak sebagai pendakwa dan hakim, sedangkan perkara ini tidak dibolehkan kerana ia bercanggah dengan asas kedua dalam keadilan asasi,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada dapatan hakim bahawa Speaker melakukan kesilapan apabila membuat tafsiran tentang undang-udang, khususnya Perkara 23(1) dan 24(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami amat gembira kerananya (keputusan mahkamah) dan paling penting, hakim telah bekerja keras untuk mempercepatkan kes ini.

“Keputusan itu sepatutnya diumumkan pada Isnin, tapi beliau mengumumkannya hari ini. Berikutan penghakiman hari ini, beliau menjimatkan banyak tenaga, wang, masa dan kerja, bukan sahaja di pihak kerajaan, tetapi juga semua pihak yang terlibat,” katanya.

– Bernama

.