DR MAHATHIR, WAN AZIZAH AKAN JELAJAH MALAYSIA BULAN DEPAN

CALON perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memulakan siri jelajah bertemu pengundi di seluruh negara mulai bulan depan.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata siri jelajah yang diberi nama Jelajah Harapan itu akan singgah di setiap negeri di seluruh Malaysia.

“Kita hanya ada 14 minggu lagi sekiranya kita andaikan pilihan raya diadakan pada Mei,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya, hari ini.

Siri jelajah itu akan disertai oleh pemimpin kanan PH yang akan turut bertemu pengundi bagi menjelaskan dasar-dasar gabungan pembangkang itu yang akan dikemukakan pada PRU14 nanti, serta menjawab tuduhan Barisan Nasional terhadap pakatan itu.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menjelas lanjut tentang siri jelajah tersebut.

Konvensyen PH minggu lalu sepakat menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai calon PM dan TPM gabungan pembangkang itu, sekiranya menang pilihan raya yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.

Pada konvensyen itu, PH turut mengumumkan 13 janji PRU14 yang akan dibentangkan dengan lebih lanjut dalam manifestonya nanti, selain pembahagian kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia yang akan ditandingi oleh empat parti dalam PH.

Mandat Dewan Rakyat sekarang berakhir pada Jun, namun banyak pihak percaya Parlimen akan dibubarkan sebelum April ini. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubar.

PH pada Oktober lepas menamatkan siri jelajah Hapuskan Kleptokrasi, Selamatkan Malaysia selepas bergerak ke serata negara sejak Julai sebelumnya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.