DR MAHATHIR TIDAK PERNAH KE BILIK URUS NIAGA FOREX

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke bilik urus niaga tukaran asing di Bank Negara Malaysia (BNM), kata seorang bekas pedagang Forex dengan bank pusat itu.

Azman Mat Ali yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian dalam perdagangan forex BNM hari ini berkata, kebanyakan pedagang biasanya kurang bersosial dengan orang luar.

Azman berkata demikian ketika ditanya anggota RCI Saw Choo Boon sama ada beliau menerima kunjungan daripada mana-mana VIP atau perdana menteri ketika terlibat dalam perdagangan forex di sana.

“Saya tidak ingat apa-apa kunjungan,” katanya yang menjadi pedagang forex bank negara sejak 1988 hingga 1998.

Beliau kemudian disoal peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla sama ada pengerusi Pakatan Harapan itu pernah memasuki bilik urus niaga.

“(Beliau) tidak pernah, saya pasti,” katanya.

Sementara itu saksi kedua pendengaran hari ini, bekas ketua audit negara Tan Sri Hadenan Abdul Halil berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada pernah berbincang dengan gabenor atau menteri kewangan berhubung kerugian yang ditanggung negara antara 1990 hingga 1994 akibat perdagangan forex.

Hadenan juga berkata tidak pernah membincangkannya dengan perdana menteri sepanjang beliau menjadi setiausaha bahagian kewangan Perbendaharaan Malaysia.

Kegiatan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara itu berlaku ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan.

Pembangkang sebelum ini menyifatkan RCI itu sebagai cubaan kerajaan membalas dendam kepada Mahathir dan mengalihkan perhatian
umum daripada skandal 1MDB.

Pembangkang, termasuk Dr Mahathir sendiri, sebelum ini berulangkali menggesa RCI bagi meyiasat 1MDB.

Bekas gabenor BNM Tan Sri Ahmad Mohd Don pula mengesahkan jawatankuasa pengurusan berkaitan operasi dan dasar rizab luar BNM
ditubuhkan selepas pelantikan beliau.

Namun, beliau berkata sudah lupa sama ada dasar bertulis tentang perdagangan forex sudah sedia wujud sebelum pelantikannya pada
Mei 1994.

Beliau juga berkata tidak dapat mengingati sama ada BNM pernah menubuhkan jawatankuasa untuk memantau kegiatan forex sebelum
itu.

– M’kini

.