DR MAHATHIR TIDAK AKAN BERJAYA TAKUTKAN RAKYAT JOHOR – KHALED NORDIN

JOHOR BAHRU: Usaha Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menakut-nakutkan rakyat Johor dengan kenyataan tentang rakyat China yang diberikan kewarganegaraan dalam projek raksasa, Forest City tidak akan berjaya, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Besar Johor itu, berkata dakwaan Dr Mahathir mengenai pelaburan US$100bil (RM443bil) dalam projek itu tidak berdasarkan fakta dan beliau ‘muncul untuk menakut-nakutkan rakyat Johor’.

“Jumlah saiz tanah kerajaan adalah 1.8 juta hektar manakala keluasan tanah keseluruhan terlibat dalam projek Forest City hanya 1.977ha hanya 0.1089 peratus daripada tanah di Johor.

“Dengan hanya kurang daripada satu peratus daripada kawasan yang terlibat, adalah mustahil bagi rakyat China itu menduduki negeri ini.

“Ia menunjukkan bahawa Dr Mahathir hanya membuat tuduhan bagi menakut-nakutkan rakyat Johor,” katanya.

“Projek Forest City adalah projek kerajaan negeri manakala China sebagai pelabur asing.

“Ia bukan 100 peratus milik asing dan penduduk tempatan mempunyai kepentingan 42 peratus di dalamnya,” katanya pada majlis Bazaar Muafakat Tahun Baru Cina Johor 2017 anjuran Persatuan Tiong Hua Pasir Gudang di Taman Johor Jaya.

Beliau berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh 30 tahun itu sangat penting kerana negeri ini memerlukan projek-projek besar untuk bersaing dengan Singapura.

“Sekarang ekonomi dunia yang sangat mencabar dan tanpa pelaburan asing, kita akan berhadapan dengan keadaan yang semakin teruk,” katanya.

Khaled berkata, tidak ada bukti dakwaan bahawa 700,000 rakyat China akan mendapat kewarganegaraan dengan membeli harta di Forest City.

“Saya percaya kaedah-kaedah yang digunakan oleh Jabatan Imigresen kita sangat ketat kerana sangat mustahil untuk mereka mendapatkan kewarganegaraan Malaysia hanya dengan membeli sebuah rumah di negeri ini,” katanya.

Dalam temu bual eksklusif bersama The Star, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menuduh Dr Mahathir sebagai ‘taktik penakut’ dengan memainkan politik perkauman yang tidak mempunyai tempat di negeri ini.

Sultan Ibrahim mengakui baginda “amat tersinggung dan terluka” dengan ‘pusingan politik’ terhadap pelaburan China di negeri ini.

Baginda tidak dapat menerima kerana Dr Mahathir”meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan Malaysia, terutamanya Johor”.

Sebagai maklum balas, Dr Mahathir berkata dalam surat yang ditujukan kepada The Star bahawa beliau telah memetik mengenai butiran Forest City daripada Bloomberg, dan jelasnya laporan itu belum dinafikan.

– Mstar

.