DR MAHATHIR TAK AKAN UNDUR, PROGRAM JELAJAH RAKYAT DITERUSKAN

DR Mahathir Mohamad hanya duduk tersenyum di pentas forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam petang semalam apabila tiba-tiba sepasang selipar — diikuti beberapa pasang kasut, dan kemudiannya beberapa buah kerusi dan akhirnya, suar menyala — terbang melayang dari tengah dewan dan keadaan bertukar jadi kelam-kabut.Dr Mahathir duduk tenang tidak berganjak, kata seorang wanita yang menyaksikan kekecohan selama lebih kurang 15 minit itu.

Sepertimana beliau tidak berganjak pada petang semalam, begitu jugalah beliau tidak akan mengubah tekadnya untuk beberapa bulan akan datang.

Dr Mahathir  tidak akan tunduk dan mengalah dengan ancaman keselamatan terhadap dirinya, sebaliknya akan terus menyebarkan pemahaman kepada rakyat di seluruh negara tentang skandal 1Malaysia Development Berhad.

Dr Mahathir sekali lagi akan turun padang dalam Jelajah Selamatkan Malaysia Selamatkan Rakyat atau ringkasnya Jelajah Semarak di Pulau Pinang pada Jumaat ini, kata pegawai kanannya kepada The Malaysian Insight.

Pada perhimpunan itu, Dr Mahathir sekali lagi akan mengulangi apa yang sudah beliau katakan sejak berbulan-bulan lalu — pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak mesti ditumbangkan pada pilihan raya umum akan datang.

Kesungguhan Dr Mahathir itu senada dengan rakan barunya dalam Pakatan Harapan yang menegaskan mereka tidak takut dan gentar dengan apa juga ancaman atau keganasan. Mereka akan meneruskan kempen memberi penjelasan tentang 1MDB.

“(Insiden ini) tidak jejaskan apa-apa,” katanya pegawai kanan itu ketika dihubungi semalam.

“Kami akan adakan perbincangan peringkat dalaman berhubung beberapa perkara dan prosedur serta isu yang berbangkit daripada insiden ini.”

Pegawai kanan itu menambah beliau masih tidak dapat bercakap dengan Dr Mahathir selepas kejadian berlaku tetapi memaklumkan bekas perdana menteri itu dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam keadaan baik-baik saja.

Ini adalah kali kedua forum seumpamanya yang menggunakan tajuk majlis yang sama. Forum “Nothing to Hide” pada 5 Jun 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dihentikan polis ketika Dr Mahathir baru enam minit berucap atas alasan keselamatan. Forum itu dianjurkan oleh badan Sukarelawan Peguam (SukaGuam).

Forum kedua itu bermula pada pukul 4 petang semalam dan pada awalnya berlangsung dengan aman. Dr Mahathir sempat menjawab sekurang-kurangnya 8 soalan sebelum individu yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dari tengah-tengah hadirin dan membaling selipar.

Tiga orang pemuda yang didakwa pelajar kolej berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis kerana dipercayai memulakan kekecohan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2017.
Tiga orang pemuda yang didakwa pelajar kolej berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis kerana dipercayai memulakan kekecohan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2017.

Keadaan bertukar kecoh dan majlis yang dikendalikan oleh peguam Azhar Harun itu berhenti serta-merta, begitu saja.

Serentak itu, sekumpulan ahli Bersatu menuju ke pentas membentuk bulatan untuk melindungi Dr Mahathir dan kemudiannya mengiringi beliau keluar ikut pintu belakang.

Di bawah pentas, keadaan jadi kelam-kabut. Suara terdengar hingar-bingar. Di satu sudut dewan, ada api menyala bersama asap yang mula menyesakkan ruang tertutup itu. Suasana kecoh merebak dan berjangkit begitu adanya.

Di satu sudut lain, sekumpulan ahli pemuda Bersatu mengenal pasti suspek pengacau dan mengejar mereka sampai ke luar bangunan, sehingga hampir 100 meter dari pagar kawasan dewan.

 

Mereka mencekup tiga remaja yang kemudiannya diserahkan kepada polis. Tiga suspek itu berumur antara 17 hingga 19 tahun, dua daripadanya pelajar kolej di Selangor, kata polis. Menurut saksi, ada beberapa lagi suspek yang sempat melarikan diri.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kekecohan yang ditimbulkan itu bertujuan untuk mencederakan Dr Mahathir dan cuba menggendalakan program, berdasarkan cara pengacau itu bertindak serta bukti beberapa helai kemeja-t Bersatu yang ditinggalkan oleh suspek di luar dewan.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob meramal akan ada banyak lagi provokasi selepas ini terutamanya apabila PRU14 semakin dekat kerana mendakwa PH sudah semakin kuat dan rakyat pula semakin faham isu 1MDB.

“Tetapi kami tidak takut. Kami akan teruskan jelajah 1MDB dan segala aktiviti selagi ia masih dalam kerangka demokrasi,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.