DR MAHATHIR, SITI HASMAH BER’DATING’, TONTON ‘STAR WARS’

DR Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilihat menonton filem ‘Star Wars: The Last Jedi’ di pawagam malam ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu dilihat menonton filem terbaharu Star Wars di TGV Cinemas di KLCC, tiga hari selepas mengumumkan di Twitter mahu membawa isterinya ‘berdating‘ dan meminta pendapat mengenai filem yang harus ditonton. Walaupun pengguna Twitter memberikan beberapa cadangan, namun tidak dipastikan sama ada filem Star Wars yang ditonton malam ini atas cadangan umum.

Menulis di akaun Twitter @chedetofficial, Dr Mahathir berkata isterinya sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.

“Planning to have a date with Hasmah. (Bercadang untuk keluar ‘dating’ dengan Hasmah).

“Dia bersama saya susah dan senang. What movie should we watch together? (Cerita apa harus kami tonton bersama?),” tulis Dr Mahathir di Twitter.

Dr Mahathir mengumumkan rancangan untuk ‘berdating’ pada hari sama beliau memulangkan pingat darjah kebesaran Selangor minggu lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata pemulangan darjah kebesaran itu disebabkan beliau rasa tidak layakmenerimanya.

Namun, pemulangan itu menyusul selepas Sultan Selangor dilaporkan murka apabila Dr Mahathir didakwa menghina masyarakat Bugis semasa berucap di Petaling Jaya Oktober lalu.

Istana Selangor mengesahkan pemulangan pingat itu dan berkata tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah dan bintang kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.

– https://www.themalaysianinsight.co

.