DR MAHATHIR SINDIR ANNUAR, SALAH LAKU UMNO JUGA DEMI ALLAH?

APAKAH segala salah laku yang dibuat para pemimpin Umno juga “demi Allah”, tanya Dr Mahathir Mohamad kepada Annuar Musa selepas Ketua Penerangan Umno itu mengingatkan sekumpulan ahli parti orang Melayu itu akan niat mereka berjuang dalam Umno.

Mahathir yang juga bekas presiden Umno menyoal demikian dengan mengaitkan satu video menunjukkan ucapan Annuar kepada satu pasukan jentera parti.

Video yang dimuatkan di blog Dr Mahathir www.chedet.cc itu menunjukkan anggota jentera parti tersebut sedang mengikut arahan Annuar supaya membetulkan niat bergiat dalam Umno “demi Allah taala”.

Mengulas arahan tersebut, bekas perdana menteri itu dengan sinis berkata, Annuar sepatutnya mengakui dengan menjunjung al-Quran bahawa segala kesalahan dilakukan pemimpin Umno dibuat kerana Allah.

Dr Mahathir juga seterusnya menyenaraikan kesalahan yang didakwa dilakukan Umno, dan menuntut agar Annuar mengakui bahawa segalanya dilakukan “demi Allah”.

“Saya nak tanya apakah Umno mencuri kerana Allah, Umno menipu kerana Allah, Umno makan suap dan Umno sogok duit kerana Allah.

“Apakah Umno pindah pengundi, tukar tempat mengundi, tukar sempadan untuk mencuri pengundi Melayu, Umno seleweng undi pos kerana Allah.

“Annuar sepatutnya junjung Quran dan lafaz bahawa semua yang dunia tahu dilakukan oleh Umno adalah kerana Allah,” kata Dr Mahathir lagi.

Video sepanjang 44 saat yang tidak bertarikh itu menunjukkan acara di Pangkal Kalong, salah satu daerah mengundi dalam kawasan parlimen Ketereh yang diwakili Annuar.

Annuar merupakan antara pemimpin Umno paling lantang mengkritik bekas presidennya itu, yang kini mengetuai blok pembangkang Pakatan Harapan.

Antara lain, Annuar menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang kuat merajuk kerana sanggup meninggalkan Umno dan menyertai pembangkang.

Beliau juga mendakwa Dr Mahathir berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak kerana anak bekas perdana menteri itu, Mukhriz Mahathir tewas dalam pemilihan Umno pada 2013.

– https://www.themalaysianinsight.com

.