DR MAHATHIR SEMBUNYI KEBENARAN DEMI KEPENTINGAN POLITIK, KATA LIOW

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad sengaja menyembunyikan kebenaran tentang sesuatu perkara demi kepentingan politik peribadi, kata Presiden MCA Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pemimpin politik veteran itu juga sangat tidak bertanggungjawab kerana sanggup menidakkan usaha kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara.

Katanya terbaru, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu telah melawat Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dan dengan menunjukkan papan jalan ‘Jalan Qinzhou’ yang ditulis dalam Bahasa Cina, telah mendakwa bahawa tanah dan sumber negara telah dijual kepada China.

Liow berkata Dr Mahathir gagal memberitahu umum bahawa di Qinzhou, China, juga ada sebatang jalan yang akan dinamakan Jalan Kuantan.

“Ini semua dakyah yang cuba mengelirukan rakyat kerana dia tak tunjuk bahawa di Qinzhou Industrial Park, juga ada Jalan Kuantan,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan ‘MCA Belt and Road 2.0’ di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya segala perancangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan hanya untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan untuk negara dan tidak sama sekali mahu menggadaikan kedaulatan negara.

Liow yang juga menteri pengangkutan turut memberitahu bahawa Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan Fadzilla Salleh juga dijadual melawat QIP pada 26 Feb ini untuk melancarkan Jalan Kuantan di sana, selain melihat sendiri perkembangan terbaru mengenai kawasan perindustrian tersebut.

“Adakah ini bermakna China sudah jual hak dan tanah mereka kepada Malaysia?” soal beliau.

Dilancarkan pada 2016, MCKIP dan Qinzhou Industrial Park merupakan kawasan perindustrian berkembar yang diwujudkan untuk merancakkan aktiviti pelaburan dan perusahaan kedua-dua negara, selain sebagai usaha dalam mengukuhkan hubungan dua hala.

– Bernama,

.