DR MAHATHIR PERLU BERTAUBAT, KATA HADI

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang berkata seteru politiknya Dr Mahathir Mohamad sedang terdesak sehingga sanggup menggunakan serangan peribadi bagi menjatuhkan lawannya dan harus bertaubat dan mendalami ajaran Islam.

Menyifatkan serangan pengerusi Pakatan Harapan tersebut terhadapnya sebagai satu serangan melampau, Hadi bagaimanapun berkata yang Mahathir telahpun berusia dan harus “insaf sendiri”.

“Memang melampaulah (melabel kafir dan pengkhianat). Tetapi biar dia insaf sendirilah. Dia orang tua dah.

“Dia macam orang terdesak yang sudah rapat ke dinding. Apabila rapat ke dinding, dia tak boleh nak pergi. Dia (terpaksa) rempuh dinding itu.

“Jadi tak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jangan pecahkan kepala sendiri,” katanya seperti dipetik oleh Berita Harian.

Hadi berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri itu yang berkata kerjasama Hadi dengan Umno menunjukkan yang dia merupakan seorang kafir dan pengkhianat.

Hadi turut menasihatkan supaya Dr Mahathir bertaubat dan mendalami ilmu Islam selepas ini.

“Dia kena duduk seorang-seorang (bersendirian) dan fikirkan semula (apa yang dia cakap). Fikir dan kena banyak membaca. Jangan baca buku perubatan saja, buku Islam pun kena baca.

“Saya biarkan dia insaf sendiri. Mudah-mudahan dia insaf. Antara saya dan dia saya sudah maafkan. Antara dia dengan tuhan, dia kena bertaubat,” kata ahli Parlimen Marang itu kepada pemberita selepas satu program parti berkenaan di Marang, Terengganu.

Dalam program tersebut, Hadi berkata Dr Mahathir, ketika pemerintahannya sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003 sering menentang usaha PAS memperkukuhkan pentadbiran Islam. Ini termasuklah amaran larangan pelaksanaan undang-undang Islam, ataupun hudud di Kelantan.

Hadi berkata keadaan ini berbeza dengan kerajaan pusat sekarang pimpinan Najib Razak yang membuka pintu rundingan kepada PAS dalam melaksanakan hukum Islam.

Sementara itu, Hadi menyifatkan pengunduran veteran PAS Mahfuz Omar dari parti sebagai “orang sudah mati lama, tetapi baru nak tanam”, merujuk kepada tindakan ahli Parlimen Pokok Sena itu sebelum keluar dari PAS.

Hadi juga enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan Mahathir bahawa beliau adalah punca Tragedi Memali, sebaliknya berkata yang dia sudah menulis buku mengenai tragedi itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.