DR MAHATHIR MINTA JOHARI GHANI JELASKAN KERUGIAN BANK NEGARA AS$39.6 BILION

DR Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani menjelaskan bagaimana Bank Negara Malaysia (BNM) boleh kehilangan rizab sehingga hampir AS$40 bilion antara 2013 dan 2015.

Katanya, Johari tidak sepatutnya cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan kehilangan dana sebanyak itu hanyalah “aliran keluar dana asing yang biasa” dari Malaysia.

“Aliran keluar dana AS$39.6 bilion itu hanya boleh disebabkan oleh penjualan mata wang dolar (Amerika Syarikat) menggunakan rizab negara, menyebabkan kehilangan rizab antara 2013 dan 2015.

“Ini diakui oleh Bank Negara sendiri. Inilah yang berlaku apabila Ringgit dibenarkan untuk diapung,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya, malam ini.

“Bolehkah Johari jelaskan bagaimana caranya lagi rizab boleh menyusut? Bolehkah beliau jelaskan kenapa Bank Negara perlu mengikut trend dan menyertai pengaliran keluar (mata wang) USD?”

Dr Mahathir mahu tahu kenapa apabila sektor swasta menjual mata wang Ringgit yang merosot dan membeli dolar Amerika, BNM pula menjual dolar Amerika untuk menyelamatkan Ringgit yang merudum.

Johari minggu lalu menjelaskan kerugian BNM sebanyak AS$39.6 bilion itu bukan kerana dagangan pertukaran mata wang asing oleh bank pusat itu, sebaliknya aliran keluar dana asing yang mengakibatkan penurunan dalam rizab antarabangsa.

“Aliran keluar ini disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lemah, jangkaan dasar normalisasi monetari Amerika Syarikat dan penurunan mendadak harga minyak global,” katanya dalam satu kenyataan media.

Isu kerugian BNM antara 2013 dan 2015 itu berbangkit selepas laporan penyiasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian forex bank pusat itu lebih kurang 30 tahun lalu meletakkan beban kesalahan, antaranya, pada Dr Mahathir.

Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani minggu lalu menjelaskan kerugian BNM sebanyak AS$39.6 bilion itu bukan kerana dagangan pertukaran mata wang asing oleh bank pusat itu, sebaliknya aliran keluar dana asing yang mengakibatkan penurunan dalam rizab antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.
Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani minggu lalu menjelaskan kerugian BNM sebanyak AS$39.6 bilion itu bukan kerana dagangan pertukaran mata wang asing oleh bank pusat itu, sebaliknya aliran keluar dana asing yang mengakibatkan penurunan dalam rizab antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk Bersatu, parti yang dipengerusikan oleh bekas perdana menteri itu membuat laporan polis meminta kerugian hampir AS$40 bilion itu disiasat.

Dalam tulisan di blognya itu, Dr Mahathir berkata memang benar pelabur asing mencairkan pegangan mereka di Malaysia untuk membawa keluar wang apabila Ringgit menyusut atau kerana bimbang pasaran saham merudum.

Katanya, BNM selaku pengurus rizab mata wang asing yang memegang bon Amerika, sepatutnya mempertahankan nilai Ringgit sekiranya pasaran hilang keyakinan kepada bagaimana kerajaan menguruskan kewangannya.

Untuk mempertahankan nilai Ringgit, BNM mestilah membeli Ringgit bagi menunjukkan ada permintaan dalam pasaran terhadap mata wang itu.

“Tetapi dengan apa Bank Negara boleh beli Ringgit. Sumber yang jelas ialah rizab mata wang asing yang dipegangnya. Bank Negara meniagakan (dolar Amerika) dari rizab nasional untuk Ringgit yang jatuh,” kata Dr Mahathir.

Dengan itu, BNM terpaksa menggunakan lebih banyak mata wang dolar Amerika yang ada dalam simpanannya untuk menyokong Ringgit, yang kemudiannya tidak pernah pulih sepanjang tempoh itu, tambahnya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.