DR MAHATHIR LEBIH LAYAK JADI MENTERI KANAN, KATA ZURAIDA

KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad lebih layak menjadi menteri kanan berbanding perdana menteri untuk Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Ampang itu berkata dengan pengalaman luas sebagai perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini Dr Mahathir tidak seharusnya menjawat jawatan itu semula.

“Beliau ada ‘track record’ sebagai negarawan, beliau layak jadi menteri kanan bukan perdana menteri. Saya rasa secara prinsipnya beliau layak jadi menteri kanan. Bukan sebab reformasi. Reformasi 20 tahun dulu kita lawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Wanita PH di Kajang, hari ini.

Dalam permukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Dr Mahathir dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika berjaya menang PRU14.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan tidak dapat diumumkan kerana PKR masih mahu membincangkan perkara itu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah menyokong tanpa bantahan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga dilaporkan berkata PH tiada pilihan kecuali menamakan bakal perdana menterinya sebelum PRU14 kerana rakyat mahu tahu apa yang ditawarkan oleh gabungan pembangkang itu untuk mengubah Malaysia.

Dr Wan Azizah yang ditemui hari ini bagaimanapun enggan mengulas berhubung calon perdana menteri PH sebaliknya meminta semua pihak menantikan keputusan yang akan diumumkan dalam Konvensyen PH di Shah Alam esok.

“Tunggulah, kita belum muktamadkan, ramai calon yang layak,” kata Dr Wan Azizah ringkas ketika diminta mengulas mengenai isu itu.

Majlis presiden PH, yang terdiri daripada pimpinan tertinggi DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memberitahu media semalam yang calon PM akan diumumkan hujung minggu ini di Shah Alam.

Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun menangguhkan penetapan calon perdana menteri PH yang sepatutnya diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, bekas pemimpin pembangkang yang dipenjarakan itu mahu PH mendapatkan maklum balas daripada kumpulan masyarakat dan aktivis sivil mengenai calon mereka sebelum membuat pengumuman.

Kesemua syarat ini dinyatakan oleh Anwar menerusi surat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ketika majlis itu memulakan mesyuaratnya semalam.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.