DR MAHATHIR FAIL SAMAN SINGKIR PANEL RCI, KETUA HAKIM

DR Mahathir Mohamad memfailkan dua permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atas kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara dan pelantikan Md Raus Shariff sebagai ketua hakim negara.

Permohonan itu difailkan peguamnya Haniff Khatri Abdulla di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Permohonan pertama untuk mengecualikan pengerusi suruhanjaya siasatan, bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan dan seorang pesuruhjayanya, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Saw Choo Boon.

Dr Mahathir, perdana menteri semasa skandal itu berlaku dan Anwar Ibrahim, menteri kewangan pada masa itu, semalam cuba mengecualikan mereka atas alasan akan memihak tetapi gagal.

Haniff berkata permohonan itu untuk mencabar keputusan tidak menarik diri itu, memaksa kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik lantikan dan menamatkan tugas dua anggota suruhanjaya siasatan itu.

Dr Mahathir juga memohon prosiding siasatan ditangguhkan sehingga permohonan semakan kehakiman itu diputuskan.

RCI itu dijadual memulakan pendengarannya pada 24 Ogos.

“Semua dokumen berkenaan dihantar Pejabat Peguam Negara serta setiausaha suruhanjaya supaya mereka maklum tentang tindakan ini walaupun pada dasarnya ini satu permohonan ex-parte (sebelah pihak),” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam permohonan kedua, Dr Mahathir memohon mahkamah mengarahkan kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong menarik balik atau menamatkan pelantikan ketua hakim itu.

“Permohonan itu juga bagi satu perintah menangguhkan ketua hakim daripada melaksanakan tugasnya sehingga mahkamah memutuskan semakan kehakiman itu,” kata Haniff.

Katanya, permohonan sama juga sudah dimaklumkan kepada peguam negara.

Raus mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat lalu di Istana Negara sehari selepas beliau sepatutnya bersara setelah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Lanjutan lantikan itu untuk tiga tahun.

Badan Peguam Malaysia dan pemimpin pembangkang menyifatkan pelantikan semula Raus sebagai tidak berperlembagaan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.