DR MAHATHIR DESAK PAS JANGAN JADI PENGACAU

DR Mahathir Mohamad merayu kepada PAS supaya jangan jadi “pengacau” ketika gabungan yang diketuainya, Pakatan Harapan (PH) cuba untuk menembusi Terengganu –kubu musuh parti pembangkang.

“Tolonglah, jangan jadi pengacau,” kata Dr Mahathir ketika lawatan pertamanya ke negeri pantai timur sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Saya sedih dengan PAS ini. Tak pernah menang, tak boleh jadi kerajaan. Tapi masuk jadi pengacau. Nak pecah belah orang Melayu supaya BN menang,” katanya.

PAS mengumumkan ia akan mengetuai gabungannya sendiri, Gagasan Sejahtera Rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Memandangkan ia tidak mengadakan kerjasama pilihan raya sama ada dengan Barisan Nasional (BN) atau PH, ia akan bertanding menentang kedua-duanya di sekurang-kurangnya 100 kerusi di seluruh negara.

Penganalisis berkata mengikut sejarah, BN hampir pasti selalu menang di mana berlakunya pertandingan banyak penjuru kerana undi pembangkang akan berpecah.

Impian PH untuk mengambil alih kuasa persekutuan terancam jika ia tidak dapat membentuk pakatan dengan PAS yang sudah pun berkata ia mahu menjadi “kingmaker” pada PRU akan datang.

PH juga bercadang untuk bertanding di Kelantan dan Terengganu di mana PAS sudah lama bertapak dan mempunyai sejarah yang panjang. Parti Islam itu pada masa ini mentadbir Kelantan dan memegang kerusi DUN di Terengganu.

Dalam ucapannya pada ceramah “Selamatkan Malaysia” di Besut malam tadi, Dr Mahathir berkata PAS hanya mampu menawan paling banyak 13 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen ketika ia bertanding sendirian sepanjang 13 PRU yang lepas.

“Bila ia bekerjasama dengan DAP, mereka boleh menang 27 kerusi Parlimen. Jadi tak boleh kerajaan pun.

“Jadi bagaimana mereka boleh jadi ‘kingmaker’. Tolonglah, jangan jadi pengacau,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.