DR MAHATHIR CABAR ROSMAH SAMAN DOJ BERHUBUNG DAKWAAN RANTAI BERLIAN

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencabar Rosmah Mansor menyaman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana mengaitkan beliau dengan rantai leher berlian merah jambu 22-karat yang dikatakan berharga AS$27.3 juta (RM117 juta).Dalam video 45 saat yang disiarkan pada akaun Twitter rasmi beliau @chedetofficial, Dr Mahathir berkata Rosmah, isteri Perdana Menteri Najib Razak perlu membuktikan dakwaan itu palsu.”Berani kerana benar. Jika ini fitnah, saya cabar Rosmah untuk saman DoJ sekali.

“Saya juga menggesa Rosmah supaya memulangkan semula duit rakyat dan barang kemas yang dibeli menggunakan duit rakyat. Duit yang digunakan ini adalah milik rakyat bukan milik Rosmah,” katanya.

Sehari selepas DoJ memfailkan tindakan sivil untuk merampas aset bernilai AS$540 juta yang didakwa diperoleh daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dana, Rosmah mengancam menyaman mereka yang menghasilkan “penerbitan atau posting palsu berniat jahat” terhadap beliau.

Saman DoJ itu, ketiga sejak tahun lepas, menjadikan jumlah yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB kepada AS$4.5 bilion (RM19.24 bilion).

 

Saman DOJ terkini itu menyatakan bagaimana Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli rantai leher berlian merah jambu 22 karat menggunakan wang daripada 1MDB untuk isteri “Malaysian Official No. 1” (MO1).

MO1 sebelum ini dikenal pasti sebagai Najib oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan peguamnya, Tetuan Noorhajran Mohd Noor, firma guaman itu berkata mereka yang membuat serangan berniat jahat terhadap Rosmah akan berdepan tindakan undang-undang tanpa notis lanjut atau rujukan.

DoJ memohon untuk menyita, antara lain, kapal layar Equanimity milik Jho Low, bernilai AS$165 juta dan hak filem “Dumb and Dumber To” dihasilkan Red Granite, sebuah syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Najib.

Menurut kenyataan itu, peguam Rosmah sedang memantau semua siaran dalam media sosial dan penerbitan lain yang berkaitan dengan serangan palsu dan berniat jahat terhadap beliau.

Pejabat Perdana Menteri menolak saman terkini DoJ sebagai “dakwaan tidak terbukti”, manakala Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata ia saman ulangan A$1 bilion tahun lepas, sambil menambah pejabatnya masih belum diberikan bukti wang itu disalurkan daripada 1MDB.

– https://www.themalaysianinsight.com

.