DR MAHATHIR: ‘Apa salahnya kerjasama dengan Anwar’

PUTRAJAYA – “Kalau saya boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) kenapa pula tidak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (bekas Ketua Pmbangkang)” demikian kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, parti-parti pembangkang perlu bergabung dalam satu bentuk kerjasama bagi mengalahkan BN.

“Daripada pengalaman saya dulu iaitu, kalau parti pembangkang ini tidak bersatu dan bekerjasama, mereka akan kalah seperti yang berlaku kepada mereka sejak 59 tahun lalu.

“Jadi sekiranya mahu menukar kerajaan sekarang atau menetukan kepimpinan baharu, mereka perlu bekerjasama rapat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pendaftar pertubuhan (ROS), hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diajukan soalan adakah beliau berbincang dengan Anwar mengenai kerjasama antara PKR dengan parti baharu itu ketika bertemu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mahathir mendakwa sekiranya ada parti pembangkang tidak bekerjasama sehingga berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya, parti itu sebenarnya berjuang untuk BN.

“Besar kemungkinan BN akan menang. Sebab itu mana-mana parti yang tidak mahu bergabung atau bekerjasama dengan gabungan parti pembangkang mereka sebenarnya berjuang untuk BN dan mahu mengekalkan BN memerintah.

“Sebab itu kita akan berusaha memastikan parti-parti pembangkang bekerjasama dan bergabung menentang BN,” katanya.

Beliau turut menyarankan Pas agar turut serta bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain bagi mengalahkan BN. – Sinar Harian