DR MAHATHIR, ANWAR TIDAK DIMAKLUMKAN MENGENAI FOREX, KATA NOR MOHAMED YAKCOP

DR Mahathir Mohamad tidak pernah diberitahu mengenai urus niaga perdagangan mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) apabila ia mengalami kerugian besar, kata bekas menteri kewangan kedua, Nor Mohamed Yakcop.

“Saya pada bila-bila masa, dari tahun 1986 hingga 1993, tidak berbincang dengan perdana menteri Malaysia (Dr Mahathir) mengenai urus niaga forex oleh BNM,” katanya dalam kenyataan 42 halamannya hari ini.

Nor Mohamed, 70, juga memberitahu panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang Anwar Ibrahim, yang merupakan menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Nor Mohamed berkata beliau ditugaskan melaksanakan dasar pengurusan rizab luar seperti ditentukan oleh lembaga bank pusat dan melaporkannya kepada gabenor BNM Jaffar Hussein dan Jawatankuasa Rizab Luar (ERC) mengenai urusan forex bank.
Antara yang menganggotai ERC ialah gabenor, timbalan gabenor dan penasihat. Terdapat juga mesyuarat pegawai kanan mingguan, yang kadang-kala membincangkan mengenai hal rizab luar negara.

“Saya tidak melaporkan sama ada kepada menteri kewangan atau perdana menteri mengenai sebarang isu pengurusan rizab luar, kerana itu bukan garis termasuk dalam aturan laporan saya,” katanya, sambil menambah beliau tidak terlibat dalam menentukan tindakan perakaunan bagi kerugian itu.

“Malah sebenarnya saya langsung tidak tahu tentang tindakan perakaunan itu,” katanya.

Suhaimi Ibrahim, pegawai mengendalikan RCI menimbulkan persoalan mengenai urus niaga forx bank pusat itu yang semakin banyak dilakukan pada penghujung 1980-an yang menggambarkan perubahan dasar.

Suhaimi bertanya, “bukankah sepatutnya perdana menteri dimaklumkan” tentang perubahan dasar itu.

Nor Mohamed berkata beliau tidak “tahu apa-apa” tentang apa yang dikatakan mengenai perubahan dasar itu kepada Dr Mahathir oleh Jaffar semasa tempoh itu.

Suhaimi kemudian merujuk kepada laporan dalaman oleh pengurus Jabatan Audit Dalaman Bank Negara, Wong Yew Sen yang mengatakan terdapat spekulasi melampau dalam pasaran masa depan tukaran asing itu.

“Jika saya tidak mengambil pendirian spekulasi, (mata wang lain mungkin mengatasi ringgit) dan saya juga akan dituduh tidak bersiap sedia lebih awal,” kata Nor Mohamed.

Ditanya mengapa beliau membenarkan urus niaga spekulasi itu, Nor Mohamed menjawab, “Kerana itu adalah kerja saya. Mengapa? Untuk negara saya.

“Kita perlu belajar daripada kesilapan. Bank Negara belajar daripada kesilapan saya.”

Nor Mohamed berkata bank pusat itu melakukan kesilapan dalam pasaran dalam tempoh itu.

“(Saya) akui kami tersilap menafsir pasaran. Selaku kakitangan bank pusat, kami percaya yang Bank of England akan menang bila berlawan (spekulasi) dengan Soros. Kami percaya yang rakan sekerja bank pusat di sana dan membeli pound sterling.

“Malangnya, Bank of England kalah. Begitu juga, maklumat yang kami ada ketika itu percaya Treati Masstricht akan diratifikasikan di Denmark pada 1992, tetapi malangnya ia ditolak.

“Kami belajar daripada pengalaman pahit daripada kejadian ini. Pengajaran ini terbukti penting dalam membantu kita merangka dasar untuk mempertahankan negara kita menentang serangan mata wang pada Krisis Kewangan Asia 1997/98, menyelamatkan berbilion duit negara yang boleh hilang (jika langkah itu tidak diambil).

“Kerugian forex berlaku. Tiada siapa boleh nafikan. Tidak boleh dinafikan juga tanggungjawab saya terhadap kerugian forex. Saya merasa bertanggungjawab atas kerugian forex itu dan meletakkan jawatan daripada Bank Negara Malaysia. Ketika itu, pada saya adalah penamat yang menyedihkan selepas 25 tahun berkhidmat untuk negara, melalui Bank Negara Malaysia,” katanya.

Nor Mohamed mengatakan beliau diberikan peluang untuk berkhidmat kepada negara sekali lagi dan pengajaran silam itu terbukti berkesan menyelamatkan negara ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98 yang mungkin akan menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit serta menyebabkan banyak syarikat Malaysia muflis, pengangguran besar-besaran dan kemiskinan naik mendadak.

“Kestabilan politik dan kerangka sosio-ekonomi negara boleh hancur. Ia kejadian yang mahu tidak mahu menunggu masa untuk berlaku.”

“Tindakan luar biasa yang dilakukan pada  September 1998 difikirkan dan dilaksanakan berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman diperolehi di meja forex Bank Negara,” katanya.

Peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Kathri Abdulla kemudian meminta Nor Mohamed untuk mengesahkan yang bekas perdana menteri itu tidak dimaklumkan tentang urus niaga forex.

“Ya,ya,ya, saya setuju dengan itu. Saya sahkan,” kata Nor Mohamed.

Beliau juga memberitahu Suhaimi yang beliau tidak dipilih sendiri Dr Mahathir untuk mengetuai jabatan perdagangan forex BNM.

Disoal oleh Haniff sekiranya beliau akan berjumpa Dr Mahathir sekiranya dipilih sendiri bekas perdana menteri itu, Nor Mohamed menjawab yang, “Jika dia (Dr Mahathir) pilih saya, mungkin saya akan berjumpa dengannya…tetapi dia tak pilih dan saya tak pernah bercakap dengannya (berkenaan kerugian forex).”

Nor Mohamed memberitahu RCI sekiranya beliau disoal pada 1995, mungkin keterangannya akan lebih baik.

“Mungkin ketika itu (1995), saya akan lebih mampu memberikan maklumat dan perbualan (yang berlaku), tetapi sekarang saya tak ingat.”

Ditanya ahli panel RCI, Tajuddin Atan mengapa BNM terlibat dalam urus niaga spekulasi pada mulanya, Nor Mohamed menjawab, “Disebabkan tidak sabar. Kami sudah mengambil tindakan (sejak itu) untuk menghalangnya daripada berlaku lagi. Tetapi benda sudah jadi.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.