DR M: YA, SAYA LELAKI PEMARAH, SUKA BAKAR BENDA

Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara berjenaka mengakui beliau seorang lelaki pemarah yang selalu membakar benda.

“Ya, saya seorang lelaki yang sangat marah, kamu lihat betapa marahnya saya,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

“Saya akan bakar kamu, saya selalu membakar benda,” kata beliau berwajah serius sebelum tersenyum lebar.

Pemberita bertanyakan beliau maklum balas kenyataan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa kemarahan bekas perdana menteri itu boleh membakar negara ini.

Semalam, media melaporkan Mahathir dan isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali memulangkan pingat kurnia ke istana Selangor.

“Kenapa saya pulangkan pingat itu? Saya tidak rasa baginda (Sultan) fikir saya layak memakai gelaran pingat kurniaan itu.

“Begini, saya dikurniakan pingat itu kerana baginda fikir saya layak menerimanya, tetapi sekarang saya sedang membakar seluruh negara, jadi saya fikir saya tidak lagi layak menggunakannya,” kata beliau.

Isteri Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Ali turut memulangkan darjah kebesaran yang diterimanya dari Selangor.

Mutakhir ini, Sultan Sharafuddin dalam wawancaranya mengecam Mahathir, terutama ekoran kenyataannya yang mengaitkan masyarakat Bugis dengan lanun.

Minggu lalu, baginda bertitah yang Mahathir mempunyai inferiority complex dan akan “membakar negara ini dengan kemarahannya”.

Sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengecam Mahathir berkenaan kenyataan “lanun Bugis” tersebut.

Ketika ditanya sama ada beliau merancang untuk memulangkan kembali darjah kebesaran yang diterima dari negeri lain, beliau bertanya kembali, “untuk apa?”

Mahathir turut meremehkan desakan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos agar beliau meninggalkan Selangor jika dilihat berseteru dengan sultan selaku pemerintah negeri.

“Negeri ini bukan dia punya,” katanya.

– M’kini

.