DR. M TOLAK, KIT SIANG PULA TAGIH BANTUAN

PULAU PINANG – Pakatan pembangkang yang diketuai DAP semakin bercelaru apabila membayangkan hasrat untuk kembali menagih bantuan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui beliau ‘bersedia’ untuk bekerjasama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menjayakan agenda politik pembangkang.

Pusingan U yang dibuat Ahli Parlimen Gelang Patah itu sekali gus dilihat sebagai tamparan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memilih untuk melupakan Pas.

Semalam, Dr. Mahathir meluahkan keyakinan bahawa pakatan pembangkang tidak memerlukan Pas untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRU-14 kerana gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM mencukupi.

Kit Siang berkata, walaupun mempunyai perbezaan dalam beberapa isu dengan Pas, mereka harus melihat ‘kepentingan kebangsaan’ sebagai fokus utama.

“Perkara lain merupakan isu sampingan. Berhubung dakwaan bahawa saya bersikap hipokrit apabila mahu bekerjasama dengan Pas, perkara ini perlu diserahkan kepada orang ramai untuk dinilai,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini hari ini.

Kerjasama membabitkan kedua -dua parti berkenaan sejak 2008 berakhir pada 2014 apabila DAP menentang keras hasrat Pas yang memulakan usaha pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Kemuncak pertelingkahan itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang memecat wakil Pas dalam pentadbiran selain mengarahkan ahli Pas meletak jawatan dalam Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) negeri.

– UTUSAN

.