DR M TAK MAHU PEMBANGKANG NAMAKAN PM SEKARANG KERANA…

“Jika kita menamakan PM (sekarang), akan ada orang lain yang kecewa dan berlaku pertelingkahan antara kami. Pada masa ini, kita tidak boleh namakan PM,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui Malaysiakini, malam tadi.

Beliau yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, calon PM pilihan pembangkang sepatutnya dinamakan ketika semakin hampir dengan pilihan raya umum.

“(PM) mesti (dipilih) dengan sokongan popular semua (pembangkang) parti, bukan hanya satu parti,” kata bekas perdana menteri keempat itu.

Mahathir ditemui selepas forum anjuran kumpulan belia Challenger mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di pejabat Malaysiakini.

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) yang kini disekutui oleh BERSATU akan menamakan calon pilihan mereka untuk jawatan Perdana Menteri tidak lama lagi.

Persetujuan di kalangan parti dalam HARAPAN iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masih mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon terbaik untuk jawatan nombor satu negara itu.

Hari ini, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, HARAPAN mesti membuat keputusan mengenai pilihan gabungan itu sebagai perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya bagi mengelakkan perebutan kuasa.

Tambahan pula, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, perkara berkenaan mempunyai kepentingan orang ramai.
“Ini lebih-lebih lagi bagi memastikan gabungan itu bertahan selepas pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, HARAPAN harus menghentikan cakap-cakap mengenai calon perdana menteri, dan sebaliknya, menumpukan kepada isu-isu lain.

– M’kini

.