DR M SEDIA JADI ‘PEMANDU MALAYSIA’ SEKALI LAGI

Biarpun berusia hampir satu abad, Tun Dr Mahathir Mohamad terbukti tetap cekap untuk menjadi pemandu kenderaan, walaupun pada kelajuan kira-kira 110km sejam.

Ia dibuktikan melalui satu ciapan bekas wartawan dan bloger, Firdaus Abdullah hari ini.

Melalui ciapan itu Firdaus juga jelas mengaitkan klip video itu dengan suasana semasa politik negara.

“Kelajuan purata 110km/j… oleh lelaki berusia 93 tahun yang bersedia menjadi pemandu Malaysia sekali lagi.

“Ia akan menjadi perjalanan yang mantap untuk rakyat Malaysia seperti pernah dilalui dulu sebelum pencuri-pencuri merampas negara kita,” katanya.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri antara Julai 1981 hingga hingga Okt 2003. Walaupun bertanggungjawab mendesak kerajaan dan Umno menaikkan Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir kini menjadi antara pengkritik paling lantang perdana menteri.

Kesan skandal 1MDB Dr Mahathir bersama sekumpulan pemimpin kanan Umno menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri jika HARAPAN berjaya mengetepikan BN dalam pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Malaysiakini difahamkan, bukanlah aneh untuk Dr Mahathir memandu sendiri kenderaannya pada hujung minggu.

Difahamkan rakaman video dimuat naik Firdaus itu dibuat ketika Dr Mahathir memandu Proton Perdana dari rumahnya di Seri Kembangan ke Putrajaya. Jarak antara kedua-dua lokasi itu kira-kira 25km.

Proton adalah salah satu projek yang diilhamkan Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri.

Beliau mengkritik cara kerajaan menangani isu Proton dan kini 49.9 peratus saham syarikat itu dimiliki pembuat kereta dari China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Ekoran perkembangan itu tahun lalu Dr Mahathir menyatakan keinginannya menubuhkan satu lagi syarikat membuat kereta tempatan.

– M’kini

.