DR M SEDIA CABAR LAPORAN RCI FOREX DI MAHKAMAH

Tun Dr Mahathir Mohamad sedia mencabar laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian tukaran wang asing (forex) Bank Negara pada sekitar tahun 1990-an dan pasukan peguamnya akan memfailkan dokumen berkaitan di mahkamah tidak lama lagi.

Peguam Dr Mahathir, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata tarikh akhir bagi RCI menjawap surat tuntutan bekas perdana menterti itu berlalu pada Jumaat lepas, dan beliau masih belum menerima sebarang respon sehingga semalam.

“Kami sedang menyediakan dokumennya. Dalam masa terdekat, kami akan memfailkan permohonan di mahkamah dan akan memaklumkan kepada wartawan, “katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Rayuan hari ini.

Notis tuntutan yang dihantar pada 4 Disember lalu mahu suruhanjaya berkenaan memasukkan keterangan Dr Mahathir dalam laporan mereka, dan mengancam mengambil tindakan undang-undang jika mereka gagal mematuhi permintaan itu.

Haniff sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir telah menyediakan 495 muka dokumen sokongan dan penghujahan bertulis dan keterangannya .

Justeru, meninggalkan semuanya dari laporan RCI bermaksud “ia mengandungi cerita separuh masak yang hanya mendedahkan sikap tidak jujur pihak berkuasa”.

Dokumen permohonan bertulis Mahathir, penghujahan peguam, transkrip prosiding penghujahan dan tiga permintaan bertulis antara maklumat yang tiada dalam laporan RCI setebal 524 muka itu yang dibentangkan ke parlimen pada 30 November lalu.

– M’kini

.