DR M: SAYA BERSAMA DAP TAPI MEREKA TAK MILIKI SAYA

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berkongsi objektif yang sama dengan DAP untuk mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional di Malaysia.

Tetapi kata negarawan berusia 91 tahun itu ia tidak bermakna beliau berada di bawah telunjuk DAP.

“Ya, saya bersama DAP tetapi DAP tidak miliki saya. Saya sendiri,” katanya ketika ditemui di kompleks mahkamah Jalan Duta hari ini.

Malam tadi, Presiden Umno dan Perdana Menteri Najib Razak bercakap mengenai “pemimpin tertentu” yang berani menentang parti itu.
Najib berkata bekas pemimpin itu “berani bermesra dan cium mulut dengan musuh Umno, sedangkan selama ini dia menentang mereka hanya kerana agenda peribadinya”.

Sementara itu, penyokong Dr Mahathir, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang Wen Chiew dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada tuduhan cubaan mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.

Khairuddin dan Chang didakwa pada 12 Oktober, 2015 dan dituduh melakukan kesalahan itu pada antara 28 Jun dan 26 Ogos, 2015 di balai polis di Hong Kong, Singapura, Paris dan London serta pejabat peguam negara Switzerland.

Mereka membuat pelbagai laporan polis terhadap 1MDB di beberapa negara.

Kedua-duanya berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membacakan keputusannya selepas bersetuju dengan hujahan peguam bela Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang anak guamnya perlu dibebaskan demi kepentingan umum.

“Mahkamah membebaskan kedua-dua tertuduh daripada tuduhan itu. Wang jaminan dan pasport hendaklah dipulangkan,” katanya.

– M’kini

.