DR M RAYU KEPUTUSAN ‘PM BUKAN PENJAWAT AWAM’

Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman misfeasans mereka berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jumaat lalu, Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa saman itu – yang bertujuan untuk mendapatkan semula RM2.64 bilion daripada Najib – adalah cacat atas alasan Najib, sebagai perdana menteri, bukan seorang penjawat awam dalam jawatan awam.

Kedua-dua pemohon lain adalah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin. Notis itu difailkan oleh firma Tetuan Haniff Khatri hari ini.

Sebelum ini, Mahathir secara terbuka menyatakan bahawa penghakiman itu adalah salah kerana Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghadapi perbicaraan kes rasuah sebagai pegawai awam tetapi perkara yang sama tidak terpakai ke atas Najib.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram yang pernah berkhidmat di Mahkamah Rayuan selama 15 tahun, juga berkata keputusan hakim Abu Bakar adalah salah sama sekali.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang juga adalah seorang peguam, turut tidak bersetuju dengan tafsiran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap perkataan pegawai atau penjawat awam.

Katanya, walaupun salah satu elemen dalam tort misfeasance di pejabat awam adalah defenden mesti merupakan pegawai awam, tetapi ia tidak harus ditafsir secara tegar.
Pada 23 Mac tahun lalu, Dr Mahathir dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin, 41, selaku pihak plaintif, memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan salah laku.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam selaku perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno.

– M’kini

.