DR M: PENYANGAK TRUMP HANYA BERANI BULI PIHAK LEMAH

Sebagai pembuli antarabangsa, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hanya berani menganiaya negara lemah seperti Palestin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap di depan kedutaan AS hari ini, bekas perdana menteri itu mencabar Trump agar turut menunjukkan sikap yang serupa ketika berhadapan dengan kuasa besar dunia yang lain.

“Hari ini (AS) adalah pembuli antarabangsa. Dia (AS) cari pihak yang lemah, yang tiada tentera dan tidak boleh balas balik, barulah dia (berani) ambil tindakan.

“Saya jemput Trump untuk berbuat perkara sama terhadap China, itu baru sepadan.

“Kononnya dia adalah hero, tapi (sebenarnya) penyangak,” katanya pada himpunan bantahan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini.

Himpunan bermula di luar masjid Tabung Haji sebaik selepas sembahyang Jumaat kira-kira jam 2.30 petang.

Lebih 500 hadirin berarak ke kedutaan AS untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan Trump minggu lalu yang turut mendapat kecaman masyarakat dunia.

Mereka melaungkan “hidup Palestin” dan membawa sepanduk antaranya “Bebas Palestin” dan “Hancur penjajahan tanah Palestin”.

Jangan main golf saja

Mahathir yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun turut menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak menasihati Trump berhubung isu itu, walaupun sebelum ini memaparkan dirinya sebagai “kawan baiknya”.

“Siapa yang berkawan dengan Trump maka kelakuan macam Trump jugaklah. Kalau dah berkawan baik dan main golf dengan Trump, cakaplah kepadanya ‘Donald hentikan perkara ini dan jangan buli pihak lain’.

“Itulah yang patut dibuat, bukan main cakap sahaja (tetapi) tiada apa yang berlaku,” katanya yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan dagang dengan AS.

“Marilah kita berdoa Baitulmaqdis dibebaskan. Kerajaan Malaysia mesti bertindak lebih tegas daripada ini. Kita mesti menuntut kerajaan tarik balik pelaburan di Amerika,” katanya.

Mengulas hubungan antara Malaysia dan AS, Najib berkata negara mengambil pendirian untuk membezakan perkara yang menguntungkan seperti pelaburan dengan perbezaan pandangan seperti isu Palestin.

“Kita tidak boleh bertindak dalam hubungan pelabur-pelabur Amerika yang nak membuat pelaburan di Malaysia dengan keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump,” katanya.

Antara pemimpin utama HARAPAN yang hadir adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Preden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong.

Antara pemimpin NGO yang hadir pula Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah.

Himpunan tersebut berlangsung selama sejam tanpa sebarang insiden.

HARAPAN tunggu dulu

Dalam pada itu, Mahathir berkata HARAPAN masih belum berbincang sama ada akan menyertai himpuan serupa di Putrajaya pada minggu depan.

Beliau ditanya pemberita berhubung himpunan besar-besaran di Masjid Putra Jumaat depan, seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, himpunan tersebut akan disertai Najib dan juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita kena lihat dulu sama ada ia ikhlas untuk rakyat Palestin atau hanya untuk Umno,” kata Mahathir selepas himpunan.

– M’kini

.