DR M: ORANG MACAM HADI, MELAYU PANGGIL ‘PENGKHIANAT’

Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat kerana didakwa cuba memecahbelahkan undi pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas perdana menteri mendakwa, Hadi “membantu” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun tahu beliau akan hilang banyak kerusi.

“Inilah niatnya dan ia tidaklah islamik sangat.

“Dalam Melayu, kita panggil pengkhianat,” katanya ketika diminta mengulas hasrat PAS bertanding di 130 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahathir berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau juga menyindir Hadi yang bekerjasama dengan Umno, yang menurut Mahathir, pernah digelar mereka sebagai “kafir”.

“Najib ini kafir menurut PAS dan Hadi pernah kata jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu pun jadi kafirlah.

“Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan pada suatu masa dengan DAP, dia sendiri pun kafirlah,” kata Mahathir.

Mahathir sebelum itu menyentuh berkaitan isu Amanat Hadi pada tahun 1981 yang menurutnya mengkafirkan kerajaan ketika itu.

PAS bagaimanapun mempertahankan amanat yang diambil daripada ucapan Hadi itu sebagai sesuai pada ketika itu yang kerajaan dipimpin oleh Mahathir.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed berkata Umno kini tidak seperti dahulu apabila parti itu mengambil pendekatan berbeza untuk mendekatinya, lapor Utusan Malaysia.

Dakwanya, Umno ketika itu amat teruk dan “anti-Islam”.

– M’kini

.