Dr M: NABI TAK ADA RM2.6BIL, 1MDB

Di mata Umno Datuk Seri Najib Razak adalah ‘insan terpilih’ oleh Allah untuk memimpin parti itu dan negara.

Namun pada tafsiran Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah berbeza sama sekali.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini kenyataan mengaitkan Najib dengan kehendak Allah serta sikap walak, Dr Mahathir berkata ia seolah-olah menyamakan perdana menteri dengan nabi.

“Tetapi nabi tak ada RM2.6 bilion dalam akaun dia, juga (tak ada) 1MDB,” katanya disambut ketawa orang ramai.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media di Shah Alam selepas menghadiri perhimpunan tahunan DAP hari ini.

dap national congress 041216 lim guan eng kit siang mahathir mat sabu wan azizah

Terdahulu bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itumengejutkan orang ramai apabila hadir dan dibawa duduk bersama pimpinan tertinggi DAP di atas pentas.

Sebelum ini DAP mengesahkan mereka tidak menjemput wakil BERSATU ke program berkenaan kerana parti berkenaan belum menjadi anggota Pakatan Harapan (HARAPAN).

Turut hadir di majlis itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Sentimen takutkan Melayu

Perhimpunan tahunan Umno baru saja berakhir di PWTC semalam. Sepanjang tempoh persidangan berlangsung beberapa perwakilan menyatakan puji-pujian mereka kepada Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Ungkapan mengaitkan Najib sebagai “pilihan Allah” pernah diucapkan wakil dari Kedah, Datuk Othman Aziz pada perhimpunan agung Umno tahun lalu.

Semasa merasmikan persidangan tahunan pemuda, wanita dan puteri Umno pada 29 November lalu Ahmad Zahid berkata sekarang adalah waktu “Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai presiden” parti berkenaan.

“Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu. Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwalak hanya di bibir. Walak saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata Najib juga menyatakan jika Umno kalah pada pilihan raya umum akan datang, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.

“Inilah cara Najib gunakan sentimen perkauman untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu sedangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya diubah (menjadikan) Cina (diletakkan dalam kawasan sama) dengan Cina, Melayu dengan Melayu, India dengan India,” katanya.

Mengenai dakwaan DAP mengamalkan dasar liberal Dr Mahathir berkata tidak ada sesiapa yang akan membawa fahaman itu sama seperti di AS.

“Kita tidak akan lihat sama sekali Lim Guan Eng berkahwin dengan lelaki,” katanya, disambut ketawa orang ramai sekali lagi.

– http://www.malaysiakini.com/news/365147

.