DR M: MUSUHI HARAPAN BERMAKNA SOKONG NAJIB

Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai formula mudah untuk parti pembangkang membezakan musuh dan sahabat dalam perjuangan mereka menentang BN.

Kata bekas perdana menteri itu mana-mana pihak yang mencetuskan masalah terhadap Pakatan Harapan adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka mendakwa mereka berjuang untuk Melayu tetapi sebenarnya menyokong Najib (dan) ada kemungkinan besar mereka sudah mendapat dedak,” katanya disambut ketawa orang ramai yang menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) di Shah Alam hari ini.

Dr Mahathir menyampaikan pidato khas di majlis yang dihadiri wakil PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut pengerusi BERSATU itu atas alasan berkenaanlah mereka mengambil sikap menentang sesiapa saja yang tidak menyertai gerakan mengetepikan Najib.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan itu mungkin merujuk kepada PAS yang menyatakan secara jelas pendirian mereka untuk tidak menyertai HARAPAN.

Bagaimanapun satu kumpulan lagi yang mungkin menjadi sasaran ucapan Dr Mahathir itu ialah PERKASA yang diketuai bekas penyokong kuat beliau Datuk Ibrahim Ali.

Tidak seperti selalu Ibrahim yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri kali ini tidak menyertai gerakan dipimpin Dr Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah menurut Ibrahim PERKASA dan BERSATU dibezakan “seperti bumi dengan langit.”

Pada pandangannya PERKASA kini menjadi rebutan dan keadaan itu merumitkan perjuangan yang digalasnya demi bangsa, agama dan negara.

Pada masa sama kata bekas anggota parlimen Pasir Mas itu, PERKASA akan dimusuhi jika tidak memberikan sokongan kepada parti politik tersebut.

Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat menerima pihak yang menjadikan DAP sebagai alasan untuk tidak menyertai HARAPAN.

“Jangan kata tidak mahu sertai (HARAPAN) kerana DAP. Saya dulu musuh ketat Lim Kit Siang tetapi itu hal kecil berbanding menjatuhkan Najib,” katanya.

Sebaik sahaja Dr Mahathir menamatkan ucapannya dan turun dari pentas, sejumlah hadirin melaungkan “bebas Anwar” berulang kali sebelum diminta pengerusi majlis supaya bertenang.

MKINI

.