DR M: MUNGKIN LEBIH BAIK KITA KEKAL JADI JAJAHAN INGGERIS

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis mencadangkan bahawa adalah lebih baik Malaysia kekal sebagai tanah jajahan Eropah.

Beliau berkata demikian dalam blognya hari ini yang mempertahankan syarikat kereta nasional Proton Holdings yang sedang dijual oleh pemiliknya DRB-Hicom kepada rakan kongsi asing.

“Terus terang, Malaysia akan menjadi negara lebih baik jika kita kekal sebagai tanah jajahan Eropah atau negara maju lain.

“Mereka jelas tahu lebih baik daripada kami mengenai tadbir urus dan pembangunan negara.

“Dan mereka akan menghasilkan kereta lebih baik, menjadikan kita berbangga dengan teknologi kita,” kata Mahathir yang adalah perdana menteri yang merintis pembuatan kereta tempatan melalui penubuhan Proton pada tahun 1983.

Kenyataan Mahathir itu dibuat ketika pengeluar kereta Perancis PSA Group mengesahkan bahawa ia telah mengemukakan tawaran untuk membeli kepentingan dalam Proton.

Syarikat Geely yang berpangkalan di China juga dilaporkan membuat tawaran untuk membeli kepentingan majoriti dalam Proton tetapi masih belum mengesahkannya secara umum.

Pada sekitar 1980-an, Proton mengawal sebahagian besar daripada kereta baru di negara ini. Ia mencatatkan penguasaan 73 peratus daripada semua kereta baru yang dijual di negara ini pada tahun 1988.

Bagaimanpun, sepanjang tahun-tahun berikutnya, terdapat pelbagai aduan tentang kualiti dan pasarannya menjunam secara mendadak.

Tahun lalu, Proton hanya menguasai 14 peratus pasaran kereta baru. Ia ketinggalan kepada pesaing tempatan Perodua yang menguasai 40.3 peratus dan pembuat kereta Jepun Honda yang menguasai 17.8 peratus.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan bahawa mutu kereta Proton telah meningkat dengan ketara.

“Mereka yang membidas kereta Proton kerana ia tidak mempunyai standard yang sama seperti kereta asing. Saya cadangkan mereka memandu uji Saga baru dan Persona.

“Saya dapati banyak perbezaan antara yang Proton lama dan Proton baru.

Mahathir berkata, beliau memiliki beberapa kereta Proton lama dan baru dan telah memandu kedua-duanya.

“Saya ucapan tahniah harus diberikan kepada pengurusan, jurutera dan pekerja di Proton atas penambahbaikan yang dibuat.
“Saya rasa Proton telah pelajari sesuatu tentang membuat kereta,” katanya.

Proton melancarkan Saga baru dan Persona tahun lalu dan model kereta berkenaan mendapat pujian dan ulasan yang membanggakan.

Bagaimanapun, model Perdana dan Ertiga, yang juga dilancarkan pada tahun lalu berdasarkan model Honda dan Suzuki lama, kurang popular dan tidak mendapat sambutan.

– M’kini

.