Dr M: M’sia jadi negara tiada undang-undang

Pembentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyebabkan undang-undang negara seperti digantung, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini termasuk pemansuhan inkues terhadap kematian.

“Malaysia tidak lagi mengamalkan kedaulatan undang-undang.

“Kita sudah jadi negara tiada undang-undang,” tulisnya dalam blog.

Mahathir pada 25 Ogos memohon maaf kerana meminda perlembagaan supaya tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi diperlukan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Akta MKN memberi perdana menteri kuasa mengisytiharkan zon keselamatan, yang diambil alih oleh pasukan keselamatan.

Pengkritik berkata ia serupa mengisytiharkan darurat, sesuatu yang hanya boleh dilakukan agong.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja meminta Rang Undang-Undang MKN diperhalusi, tetapi ini tidak dilakukan.

Kemudian, mengikut warta negara, Rang Undang-Undang MKN secara automatik diperkenan pada hari berikutnya, pada 18 Februari, sepertimana pindaan yang dibuat ketika pentadbiran Mahathir.

Rang undang-undang itu telah diwartakan menjadi undang-undang pada bulan Jun dan berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu. – M’kini

.