DR M MENGADU KAKITANGANNYA DITUKAR

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa banyak kakitangannya yang lama berkhidmat dengannya telah ditukarkan oleh kerajaan persekutuan.

Beliau berkata antara mereka yang baru-baru ini digantikan adalah pengawal peribadi, pengiring dan pembantu rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri (PMD) dalam satu kenyataan hari ini berkata, bahawa kerajaan masih memperuntukkan 21 kakitangan kepada Mahathir.

Menurut JPM, pejabat Dr Mahathir telah dibekalkan dengan perjawatan yang meliputi pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) serta kediaman beliau di The Mines Resort City, Selangor selaras dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 237).

Sebelum ini, pihak polis turut menafikan dakwaan bahawa anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjadi pengiring peribadi Mahathir telah ditamatkan perkhidmatannya.

Walau bagaimanapun, Mahathir hari ini berkeras mendakwa kerajaan persekutuan telah menarik balik sesetengah keistimewaannnya itu atau memaksa sesetengah syarikat swasta daripada mendekati dirinya.

“Saya boleh senaraikan benda-benda yang ditarik balik. Maka benda yang tak kena dengan kerajaan pun ditarik balik, dipaksa orang tarik balik.

“Saya jadi canselor universiti swasta. Universiti itu diarah supaya hentikan saya jadi canselor. Ini tentu kerja kerajaan,” katanya.

Mahathir dipecat sebagai penasihat Proton pada tahun 2011 dan kemudian dilucutkan jawatannya sebagai penasihat Petronas tahun lalu.

Tahun lalu juga menyaksikan Mahathir melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Proton Holdings, canselor Universiti Teknologi Petronas, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Lembaga Kemajuan Pulau Tioman.

– M’kini

.