DR M: MELAYU MUDAH LUPA TAPI AKAN SEDAR SEMULA

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru kebangkitan semula di kalangan orang Melayu yang telah menjadi asas kepada perjuangan Umno selama ini.

Pengerusi BERSATU berusia 91 tahun itu berkata, umur yang panjang memberinya peluang melihat nasib Melayu yang pernah dijajah oleh kuasa asing, bangkit semula apabila memiliki kesedaran.

“Ya, Melayu memang lemah dan mudah lupa. Tetapi kesedaran mendatangkan kekuatan yang tidak pun dimimpi berada kepada mereka,” katanya kepada lebih 5,000 orang di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.

Mahathir menceritakan bagaimana orang Melayu, yang pada masa lalu percaya mereka tidak mampu memerintah sendiri, tiba-tiba bangun menentang penjajah.

“Tetapi Alhamdulillah, bangsa yang lemah dan kerdil ini, bangsa yang tidak berkebolehan ini ini, bangsa yang serba miskin, miskin dengan duit ringgit, miskin dengan ilmu, miskin dari kekuatan semangat juang, miskin senjata.

“Bangsa ini apabila disedari akan dipisah dari tanah air sendiri dan menjadi orang asing di negara sendiri, bangsa ini tiba-tiba terjaga, bangun, bersatu dan melancarkan serangan balas bertalu-talu untuk menebus balik maruah dan tanah air,” katanya.

Negara dijual penjenayah

Dalam ucapan yang turut menyentuh skandal 1MDB, Mahathir berkata, selepas mencapai kemerdekaan dan mengecapi kemajuan, kemewahan telah meracuni pemikiran bangsa Melayu.

“Maka berlakulah pencurian dan rasuah kerana tamak tak terhingga.

“Biarlah negara hancur asalkan yang dituntut didapati. Biarlah bangsa merana asal ‘aku dapat’,”

“Hari ini negara bangsa sudah dijual, dijual oleh penjenayah, dibantu oleh mereka yang bersubahat untuk sebahagian hasil jenayah,” kata Mahathir.

Bagaimanapun, katanya meskipun Melayu lemah dan mudah lupa, terdapat segelintir mereka yang sedar keadaan yang menimpa bangsa itu.

“Tetapi Alhamdulillah. Ada segelintir yang tidak lupa. Ada yang sedar. Dan kesedaran ini, berasa takut akan apa yang sedang berlaku dan apa dia malapetaka yang akan timpa (mereka) di masa hadapan,” kata Mahathir.

Seru tinggalkan Umno

Katanya, mereka yang sayangkan negara, bangsa dan agama serta tidak tamak mempunyai keberanian melakukan perubahan.

Bekas perdana menteri itu turut menyeru anggota Umno supaya meninggalkan parti Melayu yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun itu.

“Saya sebagai bekas ahli dan bekas presiden Umno menyeru kepada ali-ahli Umno supaya tinggalkan parti pimpinan orang yang terlibat dengan rasuah dan rompakan, seorang kleptokrat.

“Tinggalkanlah Umno seperti saya, ramai pemimpin Umno dan ahli Umno meninggalkan Umno.

“Janganlah sesiapa menyokong parti Umno dan BN secara buta tuli. Parti yang dahulu banyak berjasa, hari ini sudah menjadi parti pengkhianat yang dilakukan pemimpin mereka,” katanya.

– M’kini

.