DR M: KETEPI KESETIAAN PARTI SENDIRI, SOKONG CALON HARAPAN

Tiada pengumuman pengagihan kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) Pulau Pinang malam ini, sebaliknya ceramah panjang oleh pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihati pemimpin HARAPAN agar bermuafakat.

Dr Mahathir yang kelihatan tidak sihat dan batuk sepanjang ceramahnya, menekankan kepada perwakilan agar mengenepikan perbezaan parti masing-masing dan menyokong calon HARAPAN.

Dr Mahathir berkata beliau mendengar keluhan daripada pihak yang tidak gembira kerana tidak mendapat kerusi yang diinginkan dan mungkin tidak akan menyokong calon HARAPAN yang dipertandingkan.

“Membina pakatan bukan sesuatu yang mudah, semua orang mempunyai kesetiaan kepada parti masing-masing. Itu sesuatu yang normal.. tapi jika kita terlau menekankan terhadap kesetiaan parti sendiri, kita tidak boleh bersatu.

“Jika kita ingin bersatu, kita perlu mengetepikan kesetiaan terhadap parti sendiri dan mengutamakan HARAPAN,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, muafakat seperti itu sangat diperlukan ketika ini ekoran kemungkinan pertembungan pelbagai penjuru, namun tidak menyebuk PAS secara spesifik.

“Sudah tentu akan ada masalah dalam pengagihan kerusi. Kita akan rasa kecewa kerana parti lain diberikan kerusi yang kita mahu.

“Parti lain juga akan kecewa kerana tidak dapat semua kerusi yang mereka mahu. Tapi jika semua orang tidak puas hati, ini bererti kita sudah bertindak dengan adil.

“Anda mungkin rasa tidak gembira kerana tidak dapat apa yang anda rasa patut dapat namun itu tidak sepenting memenangi pilihan raya,” katanya.

Dr Mahathir memberi amaran kepada mana-mana parti komponen HARAPAN yang enggan menyokong rakan mereka akan kalah, yang menurutnya lebih teruk berbanding tidak dapat bertanding dalam pilihan raya.

Bekas perdana menteri itu berkata, mesej ini juga telah disampaikan kepada partinya sendiri.

– M’kini

.