DR M: ISU PKR SELANGOR TAK SOKONG SAYA TAK PERLU MEDIA TAHU

Isu mengenai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah perkara dalaman, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Oleh itu, beliau berkata, tidak perlu bagi media mengetahui tentang perselisihan mereka mengenai perkara itu.

“Kita bukan nak tolak siapa-siapa, tentu ada yang tak setuju.

“Kalau tak setuju kita boleh dengar, siapa calon ganti.

“Ini semua perkara dalaman, tak perlu la media tahu,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya petang ini.

Mahathir mengulas soalan mengenai pencalonannya yang dikatakan tidak mendapat sokongan daripada PKR Selangor.

Pada 7 Januari lalu, negarawan yang menerajui negara selama 22 tahun itu dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN pada konvensyen gabungan berkenaan.

Pemimpin PKR Selangor kemudian tampil menyatakan tidak setuju dengan langkah itu, walaupun ketuanya, Datuk Mohamed Azmin Ali bertegas bahawa Mahathir adalah calon terbaik untuk tugas berkenaan.

Sebaliknya, ada yang mencadangkan supaya Azmin dilantik sebagai calon perdana menteri.

Mahathir berkata menteri besar Selangor itu berkebolehan untuk jawatan berkenaan, tetapi tidak dipilih.

– M’kini

.