DR M: IKUT LOGIK HADI, MUFTI PUN KAFIR TAK MASUK PAS

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad menegur mufti-mufti di negara ini – yang turut bertanggungjawab menasihati sultan – kerana gagal berperanan dengan baik dalam isu berkaitan PAS.

Dr Mahathir berkata, jika menggunakan logik dalam ‘Amanat Haji Hadi’, seseorang mufti juga boleh dianggap “kafir” apabila mereka tidak menyertai parti berkenaan.

Mengulas ucapan perbahasan daripada perwakilan Kelantan, Dr Mahathir berkata sekarang lebih ramai orang sedar bahawa PAS sebuah parti yang “menjual agama”.

“PAS bukan parti Islam, dia parti yang memperalatkan Islam.

“Saya ingin bertanya, kepada mufti-mufti yang menjadi penasihat kepada raja kita, apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapa mufti-mufti tidak membetulkan kenyataan mereka (PAS)?

“Mereka (Mufti) berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka setuju dengan pendapat parti PAS. Kalau mereka setuju dengan pendapat parti PAS, (jika) mereka tidak masuk parti PAS, maka mufti-mufti kita juga (boleh dianggap) kafir,” kata Dr Mahathir.

‘Amanat Haji Hadi’ merujuk ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tersebar di kalangan anggota PAS pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Dalam ucapan itu, Hadi mendakwa PAS menentang Umno kerana parti berkenaan mengekalkan undang-undang kafir.

“Kita menentang Umno kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

“Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku,” kata Hadi dalam amanat itu.

Tragedi Memali

Amanat Haji Hadi itu didakwa sesetengah pihak turut menyebabkan tercetusnya rusuhan di Kampung Memali, Kedah pada 1985 yang mengorbankan 14 nyawa.

Dr Mahathir berkata pada ketika itu, mufti tidak menegur amanat yang dikeluarkan Abdul Hadi sebaliknya diam seribu bahasa menyebabkan tercetusnya tragedi hitam itu.

“Tapi tak berani siapa cakap, senyap seribu bahasa sampaikan Amanat Hadi dikeluarkan dan pengikutnya Ibrahim Libya, merancang kononnya menggunakan pemberontakan senjata untuk jatuhkan kerajaan.

“Apa yang kita lihat ialah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir.

“Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti-mufti.

“Saya fikir mufti-mufti patutlah bertanggungjawab kenapa berlaku peristiwa Memali, ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar Amanat Hadi (yang malah) tidak disangkal oleh mereka,” katanya.

Isu Memali kembali hangat diperkatakan susulan kekecohan yang berlaku semasa program Nothing to Hide 2.0 Ogos lalu apabila salah seorang hadirin bertanya tentang peristiwa berkenaan kepada Dr Mahathir.

Selain itu, PAS juga sebelum ini menggesa tragedi Memali disiasat semula untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah.

Susulan daripada itu kerajaan berjanji akan meneliti dengan terperinci cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat peristiwa itu.

– M’kini

.