DR M: HANYA ORANG GILA PERCAYA SAYA ADA RM1BIL

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika mempunyai wang yang banyak beliau tidak akan hidup seperti apa yang dapat dilihat hari ini.

“Saya akan beli kapal terbang, kapal (layar), macam-macam,” kata bekas perdana menteri itu.

Sebaliknya kata Dr Mahathir beliau mempunyai rumah yang lebih kecil berbanding “menteri biasa” kerana perbelanjaan dibuat mengikut kemampuan kewangan yang ada padanya.

Justeru kata Dr Mahathir pihak yang membuat dakwaan beliau membayar Lim Kit Siang sebanyak RM1 bilion supaya dilantik mejadi pengerusi Pakatan Harapan sebagai “orang tidak siuman”.

“Cuma orang gila saja yang boleh fikir saya ada RM1 bilion,” katanya melalui satu kenyataan yang disiarkan Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Sebelum ini laman sesawang Malaysia Today mendakwa Dr Mahathir membayar ahli politik veteran DAP itu sejumlah wang yang besar untuk menjadi pemimpin pakatan pembangkang.

Laman sesawang itu dikendalikan Raja Petra Kamaruddin.

Dakwaan berkenaan turut diterbitkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Dr Mahathir dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Julai lalu.

Semalam Lim menegaskan dia mungkin akan menyaman media tempatan yang mengulangi dakwaan berkaitan bayaran itu.

Kata Dr Mahathir pihak yang membuat tuduhan beliau mendapat jawatan kanan dalam HARAPAN sudah tidak siuman.

“Kalau siuman, tunjuk buktilah.

“Cakap (buat tuduhan memang) mudah. Ada bukti, tunjuklah. Bagi tahu dunia saya ada satu bilion ringgit,” katanya.

– M’kini

.