Dr M dalam ‘keadaan tersepit’

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai peluang untuk berjaya dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin berkata, bekas Perdana Menteri itu kini dalam keadaan tersepit malah situasi yang dihadapinya hampir sama dengan apa yang dialami oleh Napoleon Bonaparte ketika cuba menakluk Rusia.

Menurut beliau, Dr. Mahathir menyangka Najib telah ‘dikepung’ namun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mulai sedar situasi yang berlaku adalah sebaliknya.

“Bonaparte menyelamatkan diri de­ngan meninggalkan bala tenteranya dan menunggang kuda yang pantas kembali ke Paris.

“Sekiranya Dr. Ma­­hathir mahu me­ngelakkan diri daripada ‘terkorban’, be­­­­liau juga mesti meninggalkan tenteranya dan segera lari,” katanya melalui portal Malaysia Today, http://www.malaysia-today.net hari ini.

Raja Petra memberitahu, Najib menggunakan pendekatan berfikir secara bijak dan bertindak secara munasabah dalam menghadapi serangan yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir.

Beliau berkata, Na­jib lebih banyak berdiam diri dan memberi ruang kepada ‘jeneral-jeneralnya’ merangka strategi ser­ta melancarkan kempen yang berkesan bagi mengatasi sifat megah dan ego Dr. Mahathir.

“Sejarah sering mengajar kita pihak manakah yang akhirnya memenangi pertempuran-pertempuran sebegitu,” jelasnya.
– UTUSAN

.