Dr M akui tak tahu menahu permintaan anak Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan terpinga-pinga ketika diajukan soalan berhubung permintaan anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha yang mahu bekas perdana menteri itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Malah, Dr Mahathir yang kelihatan letih turut berkata, beliau tidak tahu tentang perkara berkenaan.

“Tak tahu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di ibu negara, malam tadi.

Malaysiakini memetik laporan portal The Malay Mail Online yang melaporkan Nurul Nuha mahu Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan lampau terhadap bapanya yang kini meringkuk di penjara.

Menurut Nurul Nuha, Mahathir mesti bertanggungjawab terhadap dakwaan rasuah dan liwat terhadap Anwar pada tahun 1998 sebelum berfikir tentang membentuk sebarang pakatan dengan PKR melalui parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sementara itu, mengulas mengenai jumlah keahlian parti barunya itu, bekas pemimpin selama 22 tahun itu berkata masih terlalu awal untuk mengetahui bilangan ahli BERSATU.

Bagaimanapun beliau berkata, sokongan dan penerimaan masyarakat terhadap parti baru tersebut memberangsangkan.

“Borang-borang pun kita tak dapat edar banyak lagi. Jadi terlalu awal nak jumlah bilangan (ahli BERSATU).

“Penerimaan, di mana-mana saya pergi semua sokong (BERSATU),” katanya lagi.

Selepas diluluskan 8 September lalu, parti BERSATU mula mengedarkan borang keanggotaan mereka hari ini.

Mahathir turut menjadi anggota terawal mendaftar sebagai anggota seumur hidup dan membayar yuran RM100.

BERSATU juga mendapat anggota bukan bumiputera pertama mereka hari ini. – M’kini

.