Dr M: Akta MKN beri Najib kuasa lebih dari Agong

Walaupun perintah darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong memberi pertimbangan sewajarnya kepada hak-hak warganegara yang ditahan, namun hampir tidak ada had kepada kuasa perdana menteri di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata akta itu menjadikan Datuk Seri Najib Razak dari segi teknikal lebih berkuasa daripada Agong dengan mengisytiharkan zon keselamatan dan hanya bertanggungjawab kepada dirinya sendiri.

Mahathir berkata walaupun Pengarah Operasi MKN mempunyai kuasa bertindak, kuasa mutlak terletak kepada perdana menteri sebagai pengerusi MKN.

Selepas membaca dengan teliti perlembagaan dan akta itu sendiri, Mahathir menyenaraikan beberapa kuasa yang diberikan oleh Akta MKN kepada perdana menteri:

-Untuk mengosongkan dan memindah orang, mengiystiharkan perintah berkurung, mengawal pergerakan jalan raya, jalan air dan pesawat udara;

-Menahan individu, menggeledah dan menyita kenderaan serta harta peribadi;

-Mengambil hak milik sementara tanah, bangunan atau harta, memusnahkan bangunan yang tidak diduduki dan permintaan untuk sumber;

-Menggunakan kekerasan yang munasabah dan perlu; dan

– Mengetepikan inkues, menguatkuasakan kewajipan kerahsiaan dan mengabaikan prosiding guaman dan undang-undang.

Mahathir menegaskan bahawa ini sahaja memberi kuasa berbahaya kepada Najib.

“Dia boleh menggunakan kekerasan yang munasabah dan mengetepikan sebarang inkues, sekiranya seseorang pegawai penguat kuasa atau orang yang ditangkap mati. Beliau dilindungi sepenuhnya terhadap guaman dan prosiding undang-undang.

“Semua prosiding MKN akan menjadi rahsia rasmi. Tiada anggota majlis boleh mendedahkan apa-apa, termasuk perbuatan jenayah yang dilakukan,” dakwa Mahathir dalam blognya hari ini. – m’kini

.