DOMINIC LAU BERSIKAP EMOSI, RASIS

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dikecam kerana bersikap emosi, rasis dan prejudis apabila menuduh sekolah agama sebagai ancaman kepada perpaduan kaum di negara ini.
Ketua Penera­ngan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khai­ruddin Aman Razali berkata, panda­ngan sedemikian dikhuatiri boleh menjadi punca per­pecahan dalam kalangan rakyat di negara ini malah berunsurkan hasutan yang boleh me­rosakkan kestabilan masyarakat.

Menurutnya, sekolah agama yang menjadi pusat pendidikan akademik berasaskan kurikulum rasmi negara telah berfungsi sebagai pusat pendidikan akhlak dan mo­ral pembangunan insan sejak puluhan tahun, selain berfungsi sebagai ejen perpaduan dalam kalangan rakyat beragama Islam.

“Hasil pengajaran agama di sekolah agama memberi sumbangan besar melahirkan masyarakat Islam yang sangat bertoleransi sehingga menerima kehadiran pelbagai bangsa, kaum dan agama. Ia telah dibuktikan sepanjang sejarah pembentukan Ma­­laysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dominic menggesa kerajaan mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama dan mengatakan sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular sebelum memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii meng­anggap Dominic tidak berfikir panjang dan gagal memahami isu de­ngan jelas.

Katanya, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam bidang politik, dia seharusnya dapat membezakan antara sekolah berteraskan agama dengan sekolah berteraskan bangsa.

“Dakwaan beliau yang menyatakan ‘dari analisa kami didapati walaupun tidak semua pelajar mempunyai pandangan ekstremis, namun kecende­rungan pemikiran ini masih ada’, adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

“Ini menunjukkan beliau tidak memahami dan mengetahui perbezaan silibus pendidikan yang diguna pakai di sekolah agama yang berbeza de­ngan sekolah pondok,” katanya.

Sementara itu, Exco Perge­rakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, Dominic tidak sepatutnya memainkan sentimen perkauman yang lapuk dengan mempersoalkan dasar berhubung sekolah agama bantuan kerajaan.

“Kenyataan Dominic yang menyifatkan sekolah agama bantuan rakyat sebagai ancaman sebenar perpaduan di negara ini adalah dangkal, nakal dan tidak berasaskan fakta serta angka,” tegasnya.

– Utusan

.