DOKTOR TERPOTONG KEMALUAN KANAK-KANAK

KUALA LUMPUR  – Niat seorang bapa untuk mengkhatankan anak lelakinya yang berusia 10 tahun di sebuah klinik keluarga di Cheras, dekat sini bertukar duka apabila doktor terpotong bahagian kepala zakar kanak-kanak itu pada 20 Disember lalu.

Dalam kejadian pukul 8.20 malam itu, mangsa telah dibawa bapanya yang berusia 47 tahun untuk dikhatankan namun ketika proses itu berjalan, doktor berkenaan memaklumkan bahawa kemaluan mangsa terpotong secara tidak sengaja.

Berikutan insiden itu, doktor berusia 51 tahun itu bersama bapa mangsa telah membawa kanak-kanak itu ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun doktor di sana memaklumkan kes tersebut perlu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses penyambungan semula bahagian depan kemaluan mangsa oleh doktor pakar.

Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis berikutan kecuaian doktor klinik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan ketika mengesahkan kejadian itu berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan mengenainya masih lagi berjalan.

Katanya polis juga telah merakamkan percakapan melibatkan doktor itu dan saksi bagi tujuan melengkapkan siasatan sebelum ia dirujuk Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa terdekat.

“Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 338, Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah secara gopoh atau cuai dengan perbuatan yang membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain.

“Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

– UTUSAN ONLINE
.