DOJ MOHON LUPUS PEGANGAN JHO LOW DALAM HOTEL NY

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan negara itu untuk meluluskan rancangan melupuskan pegangan ahli perniagaan kontroversi Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan, New York.

Ini sebahagian usaha DOJ untuk merampas aset Jho Low, yang secara langsung dinamakan dalam saman sivil pelucuthakan berkaitan aset 1MDB yang difailkan tahun lalu, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Permohonan berkenaan difailkan bersama dengan pemaju hartanah Steven Witkoff, di sebuah mahkamah persekutuan di Los Angeles yang bertujuan untuk menstabilkan Hotel Park Lane yang berdepan masalah kewangan dan memulakan proses untuk menjual kepentingan Low dalam hartanah itu.

Low membeli 55 peratus pegangan dalam hotel berkenaan, yang dipercayai DOJ adalah antara aset yang dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.

WSJ berkata hotel itu adalah antara pelaburan besar Low di Amerika Syarikat dan aset terbesar yang diburu oleh DOJ dalam kes terhadap beliau.

Jurucakap Low tidak bertindak balas terhadap permohonan untuk mendapatkan ulasan berhubung perkembangan itu, kata WSJ.

Low sebelum ini menafikan salah laku dalam perkara berkenaan dan setakat ini beliau belum didakwa dengan sebarang pertuduhan jenayah berkaitan dengan isu 1MDB.
Jika permohonan oleh DOJ dan Witkoff diluluskan, pelan itu akan membolehkan Witkoff dan sekumpulan pelabur untuk menyuntik dana kepada hotel berkenaan dan meneruskan pelan pembangunannya, kata akhbar itu lagi.

Menurut dokumen mahkamah, proses menjual kepentingan Low adalah “kompleks dan berharga” serta mengambil masa beberapa bulan.

– M’kini

.