DITUDUH SABOTAJ EKONOMI, RAFIZI CABAR RAHMAN DEBAT

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan supaya berdebat mengenai gesaannya agar dana awam memboikot penyenaraian Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) di Bursa Malaysia.

Dalam satu tulisannya semalam, Abdul Rahman mendakwa Rafizi melampaui batas dan cuba melakukan sabotaj ke atas ekonomi negara apabila mengaitkan penjana tenaga bebas (IPP) itu dengan 1MDB.

“Hakikatnya, yang mensabotaj ekonomi Malaysia bukanlah orang seperti saya yang hanya menjalankan tugas sebagai ahli parlimen pembangkang untuk memastikan dana awam tidak digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

“Rakyat juga tahu bahawa pihak yang mensabotaj ekonomi Malaysia adalah Jho Low, 1MDB dan MO1 yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung hutang sehingga RM50 bilion,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media hari ini.

MO1 atau Malaysian Official 1′ merujuk kepada istilah yang digunakan dalam saman sivil yang difailkan Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan aset 1MDB.

Abdul Rahman pada tahun lalu mengesahkan MO1 adalah Perdana Menteri tetapi menegaskan Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam saman berkenaan.

Tanggung hutang kali kedua

Menurut Rafizi, isu menghalang dana awam daripada terlibat dengan penyenaraian Edra adalah isu utama yang perlu diberi perhatian dalam debat berkenaan.

“Saya juga mempunyai banyak lagi jawapan-jawapan dan fakta-fakta untuk membidas hujah songsang Datuk Seri Rahman mengenai isu ini.

“Oleh itu, cara yang terbaik membincangkan perkara ini ialah melalui satu perdebatan terbuka yang disiarkan secara langsung baik di televisyen nasional (sama ada RTM, TV3 atau TV lain) dan melalui Facebook LIVE.

“Saya percaya banyak pihak yang berpengalaman luas menganjurkan perdebatan seperti Sinar Harian boleh menguruskan debat ini dengan cepat,” katanya.

Rafizi berkata, seluruh dunia tahu 1MDB menanggung hutang yang tinggi kerana membeli aset-aset penjanaan elektrik bebas dari syarikat kroni pada harga yang lebih tinggi dari nilaian.

Aset-aset berkenaan, katanya kemudian dijual sepenuhnya kepada syarikat milik Kerajaan China, China General Nuclear Power Corporation atau CGNPC walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) membidanya untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB.

“Kini, apabila CGNPC ingin menyenaraikan Edra (yang dibeli dari 1MDB) bagi tujuan mengutip kembali RM5 bilion dari jumlah asal RM9.83 bilion yang dibayar kepada 1MDB, ia samalah seperti rakyat Malaysia menanggung hutang 1MDB buat kali kedua jika saham-saham itu dibeli oleh dana-dana awam yang dimiliki rakyat seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, PERKESO dan Khazanah,” katanya.

– M’kini

.