SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor menyelar wakil rakyat DAP yang menuduh usaha Adun BN untuk memperkasa Mahkamah Syariah di negeri itu sebagai mencari publisiti murahan.

Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) tidak layak mencampuri urusan institusi kehakiman syariah malah cadangan usul oleh Adun BN berhubung isu itu adalah demi menambah baik kedudukan mahkamah berkenaan.

“Beliau (Weng San) tidak perlu pun mengaitkan usul yang kita hantar kepada Dun (Dewan Undangan Negeri) pada 13 Oktober lalu sebagai mahu mencari publisiti murahan kerana usaha kita adalah untuk memartabatkan Mahkamah Syariah supaya setaraf Mahkamah Sivil.

“Kita buat cadangan usul kerana walaupun ada beberapa pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Islam 2003 dilakukan pada 7 April lepas namun kita rasa masih wujud lagi ruang yang boleh ditambah baik,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Katanya, pindaan yang telah dibuat hanya menyentuh mengenai beberapa perkara antaranya tafsiran istilah, menambah kuasa dan keanggotaan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), pelantikan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi dan pendaftar selain menaikkan bidang kuasa pendengar kes mahkamah rendah dan semakan kehakiman.

Susulan itu, Sulaiman berkata, wakil-wakil BN juga berpendapat perkara berkaitan seperti saraan dan emolumen hakim, infrastruktur serta  penyelesaian kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah turut sama perlu disemak bagi memperkasa kuasa institusi Islam itu.

Semalam, Weng San dipetik sebuah portal berita mendakwa Adun BN tidak ikhlas dalam usaha mereka memperkasa Mahkamah Syariah Selangor malah mempersoal tindakan Sulaiman yang tidak mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam pada sidang Dun 7 April 2015.

Baru-baru ini, Sulaiman menyatakan kekesalannya apabila cadangan usul bagi memartabatkan Mahkamah Syariah Selangor ditolak Speaker Dun, Hannah Yeoh dengan alasan institusi itu di bawah bidang kuasa kehakiman dan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif.

Bagaimanapun, Adun Permatang itu tetap menegaskan beliau akan terus mengemukakan usul sama iaitu memperkasa institusi kehakiman syariah pada sidang Dun akan datang.

“Tindakan meneruskan usul ini adalah selaras dengan titah Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara pada Selasa lepas.

“Baginda mahu satu transformasi dilakukan bagi mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai sebuah institusi perundangan yang mempunyai identiti dan bidang kuasa dihormati sebagai satu badan kehakiman terunggul kepada umat Islam,” katanya.

– Bernama

.